Insiden bakar al-Quran, Riyadh panggil duta Sweden
Astro Awani
Julai 3, 2023 06:30 MYT
Julai 3, 2023 06:30 MYT
RIYADH: Arab Saudi memanggil duta Sweden ke negara itu bagi mengecam perbuatan membakar al-Quran di luar masjid Stockholm, yang mencetuskan tindak balas diplomatik di seluruh dunia Islam.
Negara yang menjadi rumah kepada tempat paling suci dalam Islam, Mekah dan Madinah itu, mengecam insiden pada Rabu lalu, membabitkan seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden, Salwan Momika.
Antara lain, pada sambutan Hari Raya Adiladha, Momika bertindak memijak kitab suci umat Islam itu dan membakar beberapa halaman muka suratnya.
Saudi Press Agency melaporkan, Kementerian Luar memanggil duta besar itu pada Isnin bagi menggesa Sweden menghentikan semua tindakan yang secara langsung bercanggah dengan usaha antarabangsa untuk menyebarkan nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan ekstremisme serta melemahkan rasa saling menghormati yang diperlukan untuk hubungan antara rakyat dan negara.
Tindakan Momika membakar al-Quran dibuat tepat pada permulaan cuti Aidiladha dan berakhirnya ibadah haji tahunan di Arab Saudi, yang mencetuskan kemarahan meluas.
Negara lain, termasuk Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi turut memanggil duta Sweden sebagai tanda protes.
Pada Isnin, Iran berkata, ia menangguhkan penghantaran duta baharunya ke Sweden susulan insiden itu.
Pada mesyuarat luar biasa di ibu pejabatnya di Jeddah sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Arab Saudi menggesa langkah kolektif bagi mengelakkan insiden membakar al-Quran pada masa depan.
Polis Sweden memberikan permit kepada Momika, selaras dengan perlindungan kebebasan bersuara, namun pihak berkuasa kemudian, berkata mereka membuka siasatan dengan menyatakan Momika membakar halaman muka surat kitab suci Islam.
Kerajaan Sweden mengecam tindakan Momika dan menyifatkan ia sebagai “Islamofobia".