Insiden bakar al-Quran: OIC tuntut tindak balas tegas
Astro Awani
Februari 1, 2023 06:45 MYT
Februari 1, 2023 06:45 MYT
PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) menuntut “tindak balas yang tegas” terhadap kejadian membakar salinan al-Quran di Sweden, Belanda dan Denmark baru-baru ini.
Blok Islam itu menyuarakan pendirian bersama terhadap penghinaan al-Quran baru-baru ini dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan di Jeddah, Arab Saudi.
Mereka membincangkan kemungkinan tindakan yang boleh diambil oleh OIC terhadap pelaku serangan Islamofobia itu.
Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha mengulangi kekecewaannya terhadap tindakan provokasi yang dilakukan oleh aktivis sayap kanan.
Beliau menekankan bahawa tindakan berkenaan adalah perbuatan jenayah yang dilakukan dengan niat utama menyasarkan umat Islam, menghina agama dan nilai suci mereka.
Setiausaha Agung itu menambah, tindakan sengaja mencemarkan al-Quran dan menghina Nabi Muhammad tidak boleh dilihat sebagai insiden kebiasaan Islamofobia.
Tindakan demikian merupakan penghinaan langsung kepada keseluruhan 1.6 bilion penduduk Islam, justeru itu Taha meminta semua pihak berkepentingan mengambil tindakan tegas, agar provokasi serupa tidak berulang pada masa depan.
Minggu lalu, pelampau Denmark-Sweden Rasmus Paludan dan Edwin Wagensveld, ahli politik Belanda dan Ketua Kumpulan Islamofobia Pegida, secara berasingan bertindak membakar kitab suci Islam di Sweden, Belanda dan Denmark sehingga mencetuskan protes besar-besaran di kebanyakan negara Islam dunia.