Insiden amuk taska: Satu-satunya kanak-kanak terselamat masih bingung

Faida Rahim
Oktober 9, 2022 13:47 MYT
Emmy ditemui dalam keadaan sedar sambil duduk di sebelah mayat rakan sekelasnya.- Gambar/Viral Press
BANGKOK: Satu-satunya kanak-kanak yang terselamat dalam insiden tembakan di sebuah taska di Timur Laut Thailand, dilaporkan masih bingung dengan kejadian yang berlaku pada Khamis lalu.
Memetik laporan CNN, datuk kepada kanak-kanak dikenali sebagai Emmy itu, Somsak Srithong memaklumkan cucunya yang berusia tiga tahun itu mungkin menyangka bahawa rakan-rakannya di taska masih tidur selepas kejadian.
“Tidak jelas bagaimana cucu saya selamat. Dia ditemui terjaga, duduk di sebelah mayat rakan sekelasnya.
“Dia tidak tahu apa yang berlaku selepas dia bangun," kata lelaki berusia 59 tahun itu.
Amukan Bersenjata | Mangsa terselamat berada dalam keadaan baik
Tambah Somsak, wajah cucunya ditutup dengan kain seterusnya dibawa keluar dari lokasi oleh salah seorang anggota polis.
"Polis membawa Emmy ke tingkat dua untuk elak rasa takut. Mereka kemudiannya masuk ke kelas lain dengan harapan berjumpa dengan individu terselamat.
“Namun begitu, Emmy adalah satu-satunya kanak-kanak yang masih hidup,” katanya bersyukur.
Dalam masa sama, ibu Emmy, Panompai Srithong yang berada di Bangkok ketika kejadian berlaku melahirkan rasa syukur selepas mendapat tahu anak perempuannya selamat.
“Selepas dimaklumkan anak perempuan saya masih hidup, saya menerima panggilan video dan menatap wajah Emmy, saya berasa amat bersyukur,” katanya.
Seramai 24 orang kanak-kanak meninggal dunia dalam kejadian amuk di sebuah taska di wilayah Nong Bua Lamphu, Thailand.
Insiden tragis pada 6 Oktober lalu menyebabkan 36 orang maut yang mana 12 daripadanya adalah orang dewasa.
#Thailand #taska #Kanak-kanak #tembakan #wilayah Nong Bua Lamphu
;