Inkues: Tentera, polis Thailand tembak mati empat Muslim yang tidak bersenjata
Agensi
September 14, 2016 23:21 MYT
September 14, 2016 23:21 MYT
Sebuah inkues di Thailand telah mendapati anggota keselamatan negara itu telah menembak mati empat orang Islam yang tidak bersenjata di wilayah selatan negara itu, kata seorang peguam pada Rabu.
Hasil inkues itu dianggap suatu keputusan bersejarah yang boleh membawa kepada pendakwaan pegawai kerajaan, lapor AFP.
Selama ini, tidak pernah seorangpun anggota keselamatan Thailand yang dihukum akibat melakukan pembunuhan atau penyeksaan di selatan negara berkenaan, walaupun sudah terdapat banyak pertuduhan salah guna kuasa di seluruh wilayah itu.
Sejak tahun 2004, sejumlah 6,500 orang maut dalam konflik yang tidak berkesudahan di selatan Thailand.
Majoriti yang maut ialah orang awam, dibunuh oleh sama ada puak pemisah ataupun dalam serbuan pasukan keselamatan Thailand.
Dua orang kampung dan dua pelajar telah ditembak mati pada 25 Mac tahun lalu dalam sebuah serbuan di kampung Ban To Cut di Pattani.
Pasukan keselamatan yang menerima maklumat daripada satu sumber, telah melepaskan tembakan ke atas satu kumpulan yang disyaki anggota pengganas.
Pada awalnya, pihak berkuasa mendakwa kumpulan yang ditembak itu adalah puak pemberontak yang bersenjata namun pasukan penyiasat yang ditubuhkan mendapati dakwaan itu tidak benar – mereka hanyalah empat orang awam yang tidak bersenjata.
Inkues pada Rabu di mahkamah Pattani mendapati semua mangsa ‘maut ditembak oleh anggota tentera dan polis sewaktu serbuan’, ujar peguam dari Pusat Guaman Islam, Abdulha Awaerputae, yang mewakili keluarga mangsa.
Beberapa minggu selepas kejadian itu, pihak polis Thailand menyatakan tujuh anggota keselamatan itu akan didakwa akibat membunuh, namun selepas lebih setahun, tiada pendakwaan dilakukan.
Banyak pihak yang menyebelahi keluarga mangsa berharap keputusan di mahkamah itu akan akhirnya menyaksikan pendakwaan jenayah dibuat ke atas anggota keselamatan Thailand.
"Malangnya, ini bukan kes yang luar biasa. Kami pernah menguruskan kes yang serupa sebelum ini. Namun pada akhirnya, pegawai-pegawai kerajaan itu terlepas hukuman,” kata Pornpen Khongkachonkiet dari Amnesty International Thailand.
Tambahnya, orang Islam di selatan Thailand berpendapat 'tiada yang berubah sejak tragedi berdarah Tak Bai', iaitu merujuk kepada konflik yang membawa kepada pembunuhan kira-kira 80 orang dikatakan pemberontak Muslim oleh pihak berkuasa Thailand pada tahun 2004.