Inisiatif Jalur dan Jalan China beri nafas baharu kepada Laluan Sutera - Menteri Kanan Kemboja
Bernama
November 27, 2024 08:30 MYT
November 27, 2024 08:30 MYT
PHNOM PENH: Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China telah memberikan nafas baharu kepada Laluan Sutera yang berkurun-kurun usianya dengan skop yang menyeluruh, merangkumi daratan dan lautan, ruang udara serta siber, lapor Xinhua, memetik kenyataan seorang menteri kanan Kemboja pada Selasa.
"Inisiatif ini telah meningkatkan aliran barangan, perkhidmatan, modal, teknologi dan sumber manusia dalam kalangan negara-negara yang terlibat," kata Sok Siphana, menteri kanan yang bertanggungjawab atas misi khas dalam hal ehwal perdagangan dan ekonomi multilateral, di Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Sejagat (GCET) 2024 di Phnom Penh.
Siphana berkata rangkaian global penghubung BRI terdiri daripada koridor ekonomi, laluan pengangkutan antarabangsa dan lebuh raya serta kereta api, jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan, saluran paip dan grid elektrik.
"Manfaat BRI pastinya dirasai di ASEAN dan di Kemboja," katanya.
Seperti yang digariskan dalam Kenyataan Bersama ASEAN-China mengenai Penyelarasan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 dan BRI, negara-negara ASEAN telah memajukan projek-projek infrastruktur utama berkualiti tinggi untuk meningkatkan daya saing rantaian bekalan mereka dan ketahanan, sambil meneroka pembangunan koridor ekonomi dan zon perindustrian baharu, katanya.
Siphana berkata bagi Kemboja, BRI memainkan peranan penting dalam merealisasikan banyak projek infrastruktur besar seperti Lebuhraya Phnom Penh-Sihanoukville, Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor yang baharu, dan Zon Ekonomi Khas Sihanoukville, yang telah meningkat daya saing negara dengan ketara.
"BRI juga telah menjadi pemangkin dalam penciptaan ribuan peluang pekerjaan, pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran, penggalakan keusahawanan, terutama dalam e-dagang, serta kemajuan teknologi dalam banyak industri, seperti kenderaan elektrik, pembuatan tayar dan elektronik," katanya.
"Projek-projek BRI ini akan memberikan sumbangan besar dalam menyokong matlamat jangka panjang Kemboja untuk mencapai status pendapatan pertengahan atas menjelang 2030 dan status pendapatan tinggi menjelang 2050," katanya.
--BERNAMA-XINHUA