Inilah yang ditemui ahli kaji purba Mesir ketika keringkan takungan air di sebuah kuil usang

Agensi
September 18, 2018 10:13 MYT
Gambar patung sphinx yang ditemui di kuil Kom Ombo, seperti yang didedahkan Jabatan Antikuiti Mesir. - Reuters
Ketika sepasukan pakar arkeologi mengeringkan takungan air di sebuah tapak kuil usang di selatan Mesir, mereka sama sekali tidak menyangka akan menemukan sesuatu yang masih dalam keadaan baik di dasarnya.
Kuil Kom Ombo di Aswan itu sebenarnya menyimpan rahsia sebuah patung sphinx yang diawet dengan baik.
Sphinx merujuk kepada makhluk mitos dari dari legenda Mesir yang memiliki badan singa dan berkepala manusia. Mengikut kepercayaan kuno, sphinx melambangkan kuasa raja-raja.
Adakalanya, kepala burung rajawali atau ular menggantikan kepala manusia tersebut, bergantung kepada tujuan dan perlambangan yang sphinx itu wakili.
Menurut Ketua Jabatan Antikuiti Aswan, Abdul Moneim Saeed, sphinx yang baru saja ditemui itu akan dikaji secara terperinci untuk mengetahui tujuan ia dibina.
Patung tersebut berukuran 28 sentimeter lebar dan 38 sentimeter tinggi dan diukir dari batu kapur.
Dua ukiran batu kapur Raja Ptolemy V juga ditemui di tapak berkenaan.
Ptolemy V adalah salah seorang firaun yang memerintah Mesir dari tahun 210 Sebelum Masihi sehingga 180 Sebelum Masihi, ketika penguasaan Dinasti Ptolemy Greco-Macedonia. Dinasti itu memerintah selama tiga kurun, sehinggalah ditakluk kerajaan Rom pada tahun 30 Sebelum masihi.
Para kaji purba percaya, patung sphinx itu juga berasal dari era tersebut.
#arkeologi #aswan #makhluk mitos #Mesir #patung #raja ptolemy v #sphinx
;