Inilah pulau yang bertukar kerajaan setiap 6 bulan
Agensi
Januari 29, 2018 18:23 MYT
Januari 29, 2018 18:23 MYT
MINGGU depan, Perancis bakal menyerahkan tanah jajahannya seluas 32 kilometer persegi kepada Sepanyol tanpa melancarkan perang.
Akan tetapi, enam bulan kemudian, Sepanyol pula secara sukarela akan menyerahkan kembali tanah jajahan tersebut kepada Perancis.
Itulah yang berlaku sejak 350 tahun yang lalu di sebuah pulau kecil dekat sempadan Perancis - Sepanyol yang dinamakan sebagai Pulau Faisan.
Agak pelik persetujuan ini, tetapi itulah yang menjadi ritual tahunan kedua-dua negara ini sebagai penyelesaian isu sempadan di Sungai Bidasoa.
Menurut laporan agensi, pulau ini bukanlah destinasi pelancongan yang amat popular.
Ia merupakan sebuah pulau kecil tidak berpenghuni malah tiada perkhidmatan pengangkutan untuk ke sana.
Mengikut sejarah, hanya terdapat satu monumen lama yang ada di sana sebagai penghormatan kepada peristiwa bersejarah pada 1659.
Ketika itu, Sepanyol dan Perancis mengambil masa sehingga tiga bulan untuk berunding dan mengakhiri perang yang lama akibat perebutan pulau terbabit.
Kini, ia dianggap sebagai kawasan 'neutral' untuk kedua-dua buah negara selepas Perjanjian Pyrenees termeterai.
Ia dimeterai melalui perkahwinan diraja antara Raja Perancis, Louis XIV yang berkahwin dengan anak perempuan Raja Sepanyol Philippe IV.
Melalui perjanjian itu, pulau kecil terbabit akan dikongsi kedua-dua negara selama enam bulan dalam setahun.
Pada 1 Februari hingga 31 Julai, Pulau Faisan akan berada di bawah pemerintahan Sepanyol manakala selebihnya akan berada di bawah penguasaan Perancis.
Ketua Angkatan Laut San Sebastian, Sepanyol dan rakannya Bayonne dari Perancis bertindak sebagai gabenor pulau berkenaan.
Sejak berabad lamanya, pulau yang berukuran 200 meter panjang dan 40 meter lebar telah kehilangan setengah daripada ukuran asalnya akibat hakisan arus deras sungai Bidasoa.