Ini yang terjadi apabila gedung pertama IKEA dibuka di India

Agensi
Ogos 10, 2018 06:29 MYT
Kesesakan luar biasa yang berlaku di laluan utama menuju gedung IKEA pertama India di bandar Hyderabad. -Twitter @rishi337
Lebuh raya menjadi sesak, manakala jalan raya dipenuhi ribuan kenderaan yang terperangkap selama berjam-jam.
Itulah penangan apabila gedung perabot dan gaya hidup IKEA yang pertama akhirnya rasmi dibuka kepada pengunjung di Hyderabad pada Khamis (9 Ogos).
Ribuan pengunjung tidak mahu melepaskan peluang meninjau segala yang ditawarkan jenama yang memulakan sejarah dari Sweden itu.
Bukan sahaja fenomena trafik yang sesak berlaku di bandar hab teknologi maklumat (IT) itu, malah laman sosial dibanjiri status dan muat naik gambar yang menunjukkan betapa hari itu penuh dengan suasana ‘huru-hara’.
Ramai yang menzahirkan rasa marah kerana sukar untuk bergerak mendekati gedung tersebut, malah penduduk setempat yang mahu pulang ke rumah dari pejabat juga menjadi mangsa apabila mereka turut terperangkap selama dua hingga empat jam.
Seorang pengguna Twitter juga mendakwa kesesakan lalu lintas itu terbentuk sepanjang 20 kilometer.

#IKEAIndia #IKEAHyderabad launch felt by most Hyderabadis today. 20Kms of traffic jam .... took 4 hours to reach home #hyderabad

— dhawan bimrah (@dbimrah) August 9, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Traffic jam near #IKEAHyderabad on the inaugural day. Madness pic.twitter.com/8kX0EqSoSF

— Aswin Kumar (@aswinkumar88) August 9, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kesesakan juga antara lain disumbangkan oleh ribuan pelanggan IKEA, yang sudah keluar dari gedung itu, dan cuba menahan teksi di sepanjang laluan jalan besar, dan bukannya di tempat khusus yang disediakan.
Kesesakan juga terjadi di pekarangan dan di dalam gedung yang mengambil ruang seluas 13 ekar tersebut.
“Saya datang ke sini dari Bangalore (yang terletak sejauh 575km dari Hyderabad). Saya teruja untuk melihat apa yang ditawarkan,” ujar seorang pengunjung Krishna Mohan Dixit, 39, yang sanggup beratur selama sejam setengah sebelum gedung itu mula dibuka.
“Memang ini yang ditunggu-tunggu selama ini. Sebenarnya isteri saya yang membawa saya ke sini. Sebelum ini barangan IKEA kami kirim dari Dubai,” kata seorang lagi pengunjung terawal, Nasrullah Khan, 34.
Itu merupakan percubaan kedua syarikat dari Sweden itu untuk menembusi pasaran India yang besar namun sukar.
Sebelum ini pada 2006, IKEA sudah cuba bertapak di negara tersebut namun berdepan masalah dengan peraturan tempatan.
Kali ini, IKEA menjangka untuk menarik kedatangan tujuh juta pengunjung setahun.
Menjelang 2025, syarikat itu meletakkan sasaran pembukaan 25 buah cawangan gedung tersebut.
Sementara itu, di bahagian jualan makanan, IKEA terpaksa membuat beberapa pertukaran untuk menyesuaikan dengan nilai budaya tempatan.
Hidangan bebola daging popular IKEA diganti dengan bebola ayam dan bebola sayuran.
#gedung perabot #Hyderabad #Ikea #kesesakan #Krishna Mohan Dixit #lalu lintas #Nasrullah Khan #pelanggan #Sweden
;