Ini senarai 10 gaji tertinggi pemimpin dunia
Hasimi Muhamad
Jun 7, 2019 13:11 MYT
Jun 7, 2019 13:11 MYT
KALAU anda diberi peluang untuk meneka siapa pemimpin dunia yang memperoleh gaji tahunan paling tinggi, siapa agaknya individu itu?
Terbaharu, laporan USA today mendedahkan 20 pemimpin dunia yang memperoleh gaji tahunan tertinggi dalam kalangan pemimpin dunia, dan jangan terkejut gaji individu paling tinggi adalah pemimpin jiran negara jiran, Singapura.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berada di tangga teratas dengan memperoleh gaji tahunan sebanyak AS$1.6 juta (RM6.62 juta).
Laporan tersebut menyebut gaji yang diperoleh Hsien Loong adalah 12 kali ganda berbanding Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menurut laporan tersebut lagi, kemungkinan gaji tinggi itu dipengaruhi oleh kos sara hidup, yang mana Singapura digambarkan sebagai bandar paling mahal di dunia untuk didiami.
Hsien Loong yang merupakan ketua Parti Tindakan Rakyat dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2004 tersenarai sebagai pemimpin dunia yang memperoleh gaji tahunan tertinggi sejak 2015.
Pendapatan tahunan Hsien Loong itu sekaligus menepis pemimpin-pemimpin dunia lain termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berada di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$568,400 (RM2.35juta) setahun, diikuti Presiden Switzerland, Ueli Maurer dan Trump, dengan masing-masing memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$482,858 (RM1.99 juta) dan AS$400,000 (RM1.65 juta).
Selain itu Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berada di tangga kelima dengan pendapatan sebanyak AS$378,415 (RM1.56 juta) setahun, sementara di kedudukan keenam dan ketujuh adalah Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Mereka masing-masing memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$369,727 (RM1.52 juta) dan AS$339,862 (RM1.4 juta).
Sementara di tangga kelapan, kesembilan dan ke-10 masing-masing adalah: Presiden Mauritania, Mohamed Ould Abdel Aziz dengan pendapatan sebanyak AS$330,000 (RM1.36 juta); Canselor Austria, Sebastian Kurz dengan pendapatan tahunan AS$328,584 (RM1.35 juta) serta Perdana Menteri Luxembourg, Xavier Bettel (AS$278,035 atau RM1.15 juta).
Kesemua nilai gaji dinyatakan dalam mata wang dolar AS yang ditukar daripada mata wang negara asal setakat 13 April 2018.
Maklumat dikumpul menerusi laman sesawang setiap negara dan data-data daripada organisasi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan CIA World Factbook.
#Amerika Syarikat
#Angela Merkel
#Donald Trump
#Gaji pemimpin dunia paling tinggi
#Hong Kong
#kos sara hidup
#Lee Hsien Loong
#New Zealand
#Switzerland
#Vladimir Putin