Ini lima rekod gempa bumi paling kuat dalam sejarah
Astro Awani
Februari 19, 2023 12:28 MYT
Februari 19, 2023 12:28 MYT
MALAYSIA, walaupun berkedudukan di luar Lingkaran Api Pasifik dan terlindung dari ancaman gunung berapi dan gempa bumi, tetap boleh 'dihantui' kesan bencana geologi.
Misalnya, beberapa siri gempa bumi sebelum ini menyaksikan penduduk di beberapa kawasan di negara ini cemas apabila turut 'merasai' rantaian gegaran itu. Malah di beberapa kawasan tepian pantai negara sebelum ini juga pernah dibadai ombak tsunami, berpunca daripada pusat gempa di negara atau rantau berdekatan.
Dari sudut lebih luas, banyak pelosok negara di dunia ini telah diketahui umum sebagai lokasi yang cenderung terjadi gempa bumi.
Terbaharu adalah kejadian yang baru sahaja dialami Turkiye, dengan pusat gempa di Gaziantep yang bersempadan dengan Syria. Gegaran berkekuatan 7.8 magnitud itu meninggalkan kesan kemusnahan dahsyat dan telah meragut puluhan ribu nyawa.
Sehingga kini, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan dengan kerjasama pasukan pakar dari pelbagai negara.
Dalam sejarah manusia, sekurang-kurangnya dari zaman bermulanya kaedah penyimpanan rekod dan data, sebenarnya ada banyak lagi kejadian gempa bumi yang lebih kuat pernah terjadi.
Namun jika dilihat pada statistik, meskipun gegaran yang direkod sangat kuat, ada sebahagian daripada insiden itu tidak melibatkan angka korban yang tinggi. Ia dipengaruhi faktor geografi yang secara tidak langsung menentukan pola petempatan serta jumlah populasi manusia di lokasi bencana.
Berikut adalah antara kejadian gempa bumi terkuat yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah:
1) Valdivia, Chile - 22 Mei 1960 (magnitud 9.5)
Gegaran terkuat ini pernah tercatat di selatan Chile, berpunca daripada pelepasan tekanan mekanikal antara Plat Nazca dan Plat Amerika Selatan, di Jurang Peru-Chile.
Gempa berkenaan telah mencetus tsunami yang memusnahkan bukan sahaja kawasan pesisiran pantai Chile, malah merentas Lautan Pasifik hingga turut menjejskan Hawaii, Jepun dan juga Filipina.
Jumlah kematian akibat gempa dan impak tsunami ini dianggarkan antara 490 hingga 5,700 orang, selain kira-kira 2 juta orang kehilangan tempat tinggal, dan anggaran kemusnahan sekitar AS$550 juta.
2) Prince William Sound, Alaska - 28 Mac 1964 (magnitud 9.2)
Digelar The Great Alaskan Earthquake, gempa ini terjadi pada jam 5.36 petang ketika sambutan Good Friday. Gegaran merentas Alaska tengah dan selatan itu meruntuhkan bangunan dan mencetus tsunami.
Berlangsung selama 4 minit 38 saat, ia dilaporkan membebaskan tenaga sekurang-kurangnya dua kali ganda gempa bumi San Francisco pada tahun 1906.
Gempa tersebut meliputi kawasan seluas 1.3 juta kilometer persegi, dengan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi menjadi sendeng, selain terdapat hamparan muka bumi yang tertolak ke atas setinggi 25 meter.
Oleh kerana kawasan gempa merupakan wilayah yang berpopulasi tidak padat, angka korban hanya sebanyak 131 orang.
3) Sumatera, Indonesia - 26 Disember 2004 (magnitud 9.1)
Membadai pesisiran pantai Sumatera di Aceh, gempa ini mencetus tsunami yang mengorbankan lebih daripada 230,000 orang di rantau berdekatan, dengan 170,000 daripadanya di Indonesia.
Ombak setinggi 30 meter yang bergerak dalam kelajuan 700 kilometer sejam, telah memusnahkan harta benda termasuk kediaman dan bangunan komersial di beberapa pekan serta bandar.
Selain Indonesia, impak gegaran dan tsunami juga melanda belasan negara lain antaranya seperti Sri Lanka, India, Thailand, Somalia, Myanmar, Malaysia, Tanzania, Seychelles, Bangladesh, Afrika Selatan, Yaman, Kenya, dan Madagascar.
3) Sendai, Jepun - 11 Mac 2011 (magnitud 9.0)
Mendapat gelaran Higashi Nihon Daishinsai (Gempa Jepun Timur Terbesar), gegaran di bawah laut itu berpusat di Lautan Pasifik, 72 kilometer di timur Semenanjung Oshika di wilayah Tohoku.
Berlarutan selama 6 minit, bencana itu merupakan yang paling kuat pernah direkodkan di Jepun, dan keempat di dunia sejak bermulanya penyimpanan maklumat moden pada tahun 1900.
Gempa itu mencetuskan tsunami kuat yang membawa ombak dahsyat yang mencapai ketinggian 40.5 meter.
4) Kamchatka, Rusia - 4 November 1952 (magnitud 9.0)
Gempa Severo-Kurilsk yang melanda perairan Semenanjung Kamchatka telah menghasilkan tsunami besar yang memusnahkan bandar dan perkampungan di Pulau Kuril, Sakhalin Oblast, Rusia pada jam 4.48 petang.
Kepulauan Hawaii mengalami kerosakan tsunami terbesar di luar kawasan tempatan. Jumlah kerosakan dianggarkan berjumlah AS$17 juta (RM75.3 juta) termasuk banyak kerosakan infrastruktur di kawasan pantai termasuk kemusnahan jambatan kecil menghubungkan antara pulau. Ombak tertinggi dicatatkan di pantai utara Pulau Oahu dengan ketinggian ombak hampir 15 kaki.