Ini lapangan terbang miliki sambungan penerbangan terbaik di dunia

Astro Awani
Ogos 27, 2024 08:15 MYT
Lapangan Terbang Istanbul itu mengendalikan 309 penerbangan tanpa henti ke destinasi di seluruh dunia. - Foto X/iGA Istanbul Airport
DATA baharu firma analisis penerbangan Cirium mendapati, Lapangan Terbang iGA Istanbul, yang dibuka pada 2018, muncul lapangan terbang yang mempunyai sambungan terbaik di dunia.
Terletak di lokasi utama timur-bertemu-barat di Turkiye, Lapangan Terbang Istanbul itu mengendalikan 309 penerbangan tanpa henti ke destinasi di seluruh dunia.
Kebanyakannya adalah bersama Turkish Airlines, yang memberi perkhidmatan kepada lebih banyak negara berbanding syarikat penerbangan lain.
Kira-kira 90 juta penumpang setahun melalui hab global ini, menjadikannya lapangan terbang ketujuh paling sibuk di dunia, dan ia mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 200 juta penumpang.
Ia terbukti apabila trafik udara pada separuh pertama 2024 telah melebihi paras 2019 buat kali pertama sejak wabak COVID-19 bermula.
Ketua Pegawai Eksekutif iGA Istanbul, Selahattin Bilgen dalam satu kenyataan berkata, lokasi strategik antara Eropah dan Asia membolehkan pihaknya berfungsi sebagai hab penting untuk perjalanan antarabangsa.
Tambahnya, iGA Istanbul terbukti sebagai lapangan terbang yang paling berdaya tahan, pulih paling cepat selepas pandemik COVID-19 dan mencapai bilangan penumpang pra-pandemik sebelum mana-mana lapangan terbang lain di dunia.
Dalam pada itu tiga lapangan terbang Eropah yang tersenarai sebagai mempunyai sambungan penerbangan terbaik ialah Frankfurt di nombor 2, Paris Charles De Gaulle di nombor 3 dan Amsterdam Schiphol di nombor 4.
Frankfurt ialah hab kewangan dan pangkalan untuk syarikat penerbangan Jerman Lufthansa, salah satu syarikat penerbangan terbesar di Eropah.
#Lapangan Terbang IGA Istanbul #sambungan terbaik #Turkish Airlines #COVID-19