Ini langkah baharu Korea Selatan perangi COVID-19
Nursyazwani Saiful Sham
April 9, 2020 21:19 MYT
April 9, 2020 21:19 MYT
KOREA SELATAN pada Khamis mencatatkan 34 kes positif COVID-19, sejumlah yang paling rendah sejak jumlah jangkitan memuncak di negara itu pada 20 Februari lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah kumulatif kes positif setakat ini adalah 10,423 kes dengan 66 peratus daripada jumlah itu telah pulih.
Manakala angka kematian pula berjumlah 204 kes dengan penambahan empat kes baru-baru ini.
Walaupun dengan penurunan mendadak ini, pihak berkuasa masih berdepan cabaran bagi mengekang penularan wabak itu di republik tersebut.
Berikut adalah antara langkah terbaharu Korea Selatan mengekang penularan COVID-19 ketika ini:
Kehidupan malam dihentikan sementara
Timbalan Menteri Kesihatan, Kim Gang-lip dalam satu sidang media memaklumkan terdapat satu kluster baharu akibat daripada aktiviti malam di Gangnam.
Ia selepas seorang wanita yang bekerja di sebuah bar di Gangnam didapati positif 2 April lalu.
Pesakit sebelum itu sudah melakukan isolasi sendiri dua hari selepas mangsa menghidangkan minum kepada seorang pesakit positif COVID-19 yang baru pulang dari Jepun.
Namun dalam jangka masa pendek itu, sekurang-kurangnya 500 pelanggan dipercayai mengunjungi bar itu dengan 100 pekerja yang bertugas dalam tempoh tersebut.
Susulan kemunculan kluster tersebut, Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon pada Rabu mengarahkan agar aktiviti malam dihentikan sehingga 19 April.
Arahan tersebut turut merangkumi penutupan 66 kelab malam, 58 disko, 2,539 pusat karaoke dan 2,022 pusat hiburan.
Pemantauan kuarantin
Puluhan ribu rakyat Korea dan pelancong asing kini sedang menjalani proses kuarantin sendiri dan pihak berkuasa memantau mereka secara terperinci.
Menurut data Kementerian Dalam Negeri, jumlah individu yang dikuarantin adalah 89,905 setakat Selasa dan daripada jumlah itu 45 peratus adalah pelancong asing.
Penambahan mendadak ini adalah selepas Korea Selatan melaksanakan proses kuarantin selama dua minggu yang wajib dilakukan oleh semua yang baru tiba di negara itu.
Dengan penambahan itu, pihak berkuasa kesihatan mencadangkan agar langkah yang lebih ketat dilakukan dengan memakaikan gelang tangan elektronik untuk memantau pergerakan mereka.
Namun, pelaksanaan tersebut menimbulkan kritikan pelbagai pihak.
Justeru, ketika ini kerajaan hanya memantau mereka yang melalui proses kuarantin ini dengan panggilan telefon dan aplikasi di telefon masing-masing.
Bagaimanapun, dengan pemantauan ini masih ada lagi sekitar enam hingga tujuh orang yang akan ingkar dengan perintah tersebut.
Bagi memastikan mereka terus patuh, sekiranya mereka melanggar perintah ini, hukuman penjara selasa satu tahun dan saman sehingga 10 juta won akan dikenakan seperti yang termaktub dalam Akta Penyakit Berjangkit.
Bagi pelancong asing pula, jika mereka ingkar, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing.
Mengundi ketika penularan wabak COVID-19
Ketika ini, pihak berkuasa kesihatan masih membincangkan sama ada pilihan raya parlimen patut diteruskan pada 15 April tanpa sebarang penularan wabak itu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit negara, ketika ini pusat itu sedang meniliti panduan sistem pengundian yang lebih selamat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian Dalam Negeri.
Minggu lalu panduan awal yang dikongsikan termasuk mengekalkan penjarakan sosial sejauh satu meter antara pengundi, memakai topeng muka dan sarung tangan serta tidak bercakap bersama pengundi lain sekiranya ia tidak penting.
Namun langkah lanjut akan diumumkan minggu hadapan.