Ini fakta tentang Gunung Sinabung dan siri letusannya
Zaim Ibrahim
Februari 19, 2018 17:09 MYT
Februari 19, 2018 17:09 MYT
PADA jam 8.53 pagi waktu tempatan hari ini, Gunung Sinabung yang terletak di Sumatera Utara, Indonesia dilaporkan meletus sekali lagi hingga asap dan abu menjulang ke udara setinggi 5 kilometer.
Letusan itu berlaku selepas beberapa kejadian gegaran di kawasan gunung pada 17 dan 18 Februari.
Semenjak 2010, letusan gunung berapi berlaku tanpa boleh diramal kerana statusnya sentiasa tidak stabil.
Fakta
Ribuan tahun dahulu, dipercayai terdapat sebuah gunung berapi besar yang meletus, iaitu Gunung Toba. Kesan letusan gunung itu telah membentuk dua lagi gunung iaitu, Gunung Sinabung dan Gunung Sibayak yang kekal hingga ke hari ini.
Gunung Sinabung merupakan sebuah gunung berapi dengan status masih aktif. Gunung setinggi 2,451 meter ini pernah meletus beberapa kali pada 2010, 2013 dan 2015.
Gunung yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Tasik Toba ini mempunyai empat kawah gunung berapi tetapi hanya satu kawah yang masih aktif.
Berdasarkan rekod kajian, Gunung Sinabung mempunyai kelainan kerana letusannya tidak berlaku di bahagian puncak tetapi di beberapa titik di sisi gunung. Oleh kerana itulah terbentuk beberapa kawah.
Landskap gunung ini juga menarik kedatangan golongan pengembara dan pendaki dari seluruh dunia dan menjadi salah satu produk pelancongan di Karo, Sumatera Utara.
Siri letusan Gunung Sinabung meninggalkan kesan negatif terhadap sosio-ekonomi tempatan. Jika dinilai dari aspek kemusnahan, letusan Gunung Sinabung mengakibatkan kesan yang lebih teruk berbanding Gunung Bromo, Gunung Galunggung dan Gunung Agung.
Selepas tempoh letusan, impak positif yang terhasil adalah dai aspek kesuburan tanah. Material debu dan pasirnya mengandungi zat yang amat membantu industri pertanian.
Letusan pada tahun 2010
Kali terakhir Gunung Sinabung meletus sebelum 2010 ialah pada tahun 1600. Pada 29 Ogos 2010, lava dilihat keluar daripada kawah dan gunung meluahkan debu setinggi 1.5km.
Menurut pihak berkuasa, hanya seorang penduduk di sekitar itu meninggal dunia akibat masalah pernafasan ketika proses pemindahan sedang dijalankan.
Letusan pada tahun 2013
Pada tanggal 15 September 2013, gunung ini sekali lagi meletus hingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan ke kawasan yang selamat. Segala aktiviti sejauh 3km radius dipaksa dihentikan.
Letusan ini menyebabkan pandangan menjadi kabur dan mengganggu banyak aktiviti penerbangan kapal terbang.
Letusan pada tahun 2015
4 Jun 2015 menyaksikan Gunung Sinabung mengamuk sekali lagi. Tahap amaran berada pada tahap keempat dan penduduk sejauh radius 7km telah diarahkan berpindah, lapor media tempatan.
Letusan pada tahun 2016
Gunung Sinabung sekali lagi meletus dengan mengeluarkan asap yang panas. Perkara ini menyebabkan, tujuh orang terkorban dan dua lagi cedera akibat luka daripada kebakaran.