Ini dia imej pertama 'black hole'

Israr Khalid
April 10, 2019 23:55 MYT
Lohong hitam yang saiznya sekitar tujuh bilion kali lebih besar daripada matahari ini terletak di teras galaksi M87, yang jauhnya lebih 53 juta tahun cahaya dari Bumi. - Gambar National Science Foundation
"INI adalah satu pencapaian yang luar biasa," kata Shep Deoleman, ahli kaji angkasa di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian tatkala beliau mempersembahkan imej pertama lohong hitam atau 'black hole'.
Imej tersebut, lingkaran cahaya jingga kekuningan membara mengelilingi bulatan hitam, dipaparkan dalam satu majlis di Washington D.C. pada Rabu, membuktikan teori Albert Einstein lebih seratus tahun lalu.
Usaha yang dikepalai Deoleman itu mengambil masa puluhan tahun, dan imej itu diperoleh daripada analisis komputer selama dua tahun terhadap hasil pemerhatian lapan rangkaian teleskop radio yang letaknya di atas enam gunung dan empat benua.
Untuk menangkap imej lohong hitam tersebut, para pengkaji angkasa mencerap melepasi ruang angkasa ke sebuah galaksi gergasi dalam buruj Virgo, bernama Messier 87 atau M87 yang jaraknya 53.49 juta tahun cahaya dari Bumi.
Di sana, sebuah lohong hitam sekitar tujuh bilion kali lebih besar daripada matahari melepaskan letusan tenaga sejauh 5,000 tahun cahaya ke angkasa.
"Kita telah melihat apa yang kita sangka tidak mampu dilihat. Kita telah melihat dan mengambil gambar lohong hitam. Inilah dia," kata Deoleman.
Hasil penuh dapatan pasukan Deoleman itu diterbitkan dalam Astrophysical Journal Letters.
Menurut teori relativiti am Einstein, lohong hitam terbentuk daripada pelanggaran bintang gergasi pada penghujung kitaran hayatnya, dan ia terus membesar dengan menyedut segala yang berada di sekitarnya.
Berdasarkan teori itu juga, tidak ada satu benda pun di alam semesta ini; termasuk cahaya, dapat terlepas daripada tarikan lohong hitam, lokasi paling tumpat dan jitu di seluruh cakerawala.
#ALBERT EINSTEIN #black hole #lohong hitam #M87 #Messier 87 #Shep Deoleman #Virgo
;