Ini cemas tahap tinggi! Penumpang pesawat tertinggal bayi di lapangan terbang!

Agensi
Mac 11, 2019 06:23 MYT
Insiden itu berlaku minggu lalu apabila sebuah pesawat penerbangan Saudi terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang setelah ia berlepas. - Gambar hiasan/Pinterest
Lazimnya sesebuah pesawat diberikan kebenaran untuk berpatah balik ke lapangan terbang jika berlaku hal kecemasan yang serius, ataupun sesuatu perkara berlaku hingga memaksa juruterbang berbuat demikian.
Namun, untuk sesebuah penerbangan berpatah balik gara-gara seorang ibu menyedari bayinya tertinggal di lapangan terbang, itu suatu yang luar biasa.
Portal berita Gulf News melaporkan, insiden itu berlaku minggu lalu apabila sebuah pesawat penerbangan Saudi terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang setelah ia berlepas.
Penerbangan SV832, dari Jeddah ke Kuala Lumpur, melencong semula ke lapangan terbang selepas seorang ibu memberitahu kru kabin bahawa dia tertinggal bayinya di ruang berlepas di terminal Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz.
Sebuah video telah tular di media sosial yang menunjukkan juruterbang meminta izin daripada pegawai ATC untuk kembali ke lapangan terbang.
Insiden itu suatu yang hampir tidak pernah berlaku, dan semua pihak pada awalnya agak teragak-agak untuk memikirkan protokol yang sewajarnya.
Pegawai ATC tersebut, selepas mencatatkan nombor pesawat, telah bertanyakan kepada rakan kerjanya tentang protokol yang perlu digunakan.
“Pesawat ini meminta untuk berpatah balik... ada seorang penumpang tertinggal bayinya di ruang berlepas, kasihan...,” katanya yang terpaksa bertanya kembali tujuan permintaan juruterbang itu untuk pengesahan.
“OK, patah balik ke pintu (pelepasan). Ini suatu yang baru bagi kami!”
Dalam ruangan komen pada video yang tular itu, juruterbang berkenaan dipuji kerana sifat ihsan dan kemanusiaannya atas usahanya mengendali situasi tersebut.
#ibu tertinggal bayi #Jeddah #Kuala Lumpur #lapangan terbang #penerbangan #pesawat #Saudia
;