Ini cara bijak Belanda atasi hakisan pantai

Agensi
Januari 17, 2021 15:34 MYT
Sand Motor dijangka memberikan perlindungan selama 20 tahun lagi tetapi kajian baru-baru ini menunjukkan ia dapat bertahan dua kali lebih lama dari itu.
MASALAH hakisan pantai boleh dikatakan berlaku di seluruh dunia, banyak negara mengalaminya dan masih mencari cara untuk menyelesaikannya.
Begitupun, Belanda ada caranya tersendiri untuk mengatasinya dan ideanya juga agak unik, berbeza daripada negara lain.
Selama bertahun-tahun, bukit pasir dan tembok laut melindungi bandar dan penduduk negara tersebut yang banyak tinggal di kawasan di bawah paras laut.
Begitupun, kini saintis mengatakan ia tidak mencukupi lantas kerajaan Belanda beralih pula kepada “Sand Motor”, pasir yang dikorek dan ditambak di satu kawasan - membentuk bukit pasir secara semulajadi.
Prosesnya bukanlah sekejap, mengambil masa beberapa tahun namun ia dilihat mampu menangani masalah hakisan pantai sekali gus menjauhkan bandar-bandar daripada lautan.
Belanda memperuntukkan AS$81 juta untuk projek Sand Motor pertama pada tahun 2011, lokasinya di pantai barat daya negara itu, lapor Business Insider.
Dalam 20 tahun akan datang, ombak akan membuatkan pasir yang ditambak di kawasan itu menjadi pelindung, sekurang-kurangnya lapan kilometer dari pantai di bahagian selatan.
Projek itu menggunakan jumlah pasir yang sangat banyak, dikorek dari pantai di bahagian utara dan kini mewujudkan lebih daripada 10,000 ekar tanah di persisiran pantai negara itu.
Sand Motor adalah hasil cetusan idea Marcel Stive, ketua kejuruteraan di Universiti Teknologi Delft di Belanda.
Tujuannya adalah untuk memperluas pantai negara itu, menjadikannya lebih selamat daripada hakisan dan kenaikan paras air laut laut memandangkan hampir 21 peratus penduduk Belanda tinggal di bawah permukaan laut, menjadikan mereka berisiko.
Pasukan Stive akan berterusan memantau Sand Motor itu untuk menentukan sama ada kawasan lain di Belanda (dan di tempat lain) harus melaksanakan teknologi tersebut.
Dek kerana Sand Motor mengambil masa agak lama untuk berubah, membentuk lagun di kebanyakan kawasan, ia membuatkan hidupan laut dan tumbuhan mempunyai lebih masa untuk menyesuaikan diri.
Mengikut kajian Universiti Delft, jumlah tumbuhan dan haiwan di kawasan itu lebih banyak berbanding pantai lain dalam negara itu.
Sand Motor dijangka memberikan perlindungan selama 20 tahun lagi tetapi kajian baru-baru ini menunjukkan ia dapat bertahan dua kali lebih lama dari itu.
#Belanda #hakisan #Pantai #hakisan pantai #Sand Motor #saintis #Bukit Pasir #ombak #lautan
;