Ini AR-15, raifal dalam serangan kejam ragut 17 nyawa di Florida
Nazim Chee
Februari 15, 2018 14:13 MYT
Februari 15, 2018 14:13 MYT
SUSPEK yang menembak mati sekurang-kurangnya 17 pelajar alam kejadian tembakan rambang di sebuah sekolah di Florida, Amerika Syarikat menggunakan senjata api jenis raifal AR-15.
AR-15 adalah raifal semi automatik moden yang diperbuat daripada aloi aluminium.
Ia dibangunkan sebagai senjata orang awam oleh bekas anggota marin, Eugene Stoner pada penghujung 1950-an
Akronim AR pada pangkal nama raifal ini bukan bermaksud Assault Rifle, sebaliknya ArmaLite Rifle, syarikat yang membangunkan senjata ini.
AR-15 yang asas boleh didapati dengan harga serendah AS$600 namun ia boleh dinaik taraf dengan menambah beberapa aksesori tambahan bergantung kepada kehendak pemilik.
Mengikut statistik yang dikeluarkan pada 2015, satu daripada lima senjata api yang dibeli di Amerika Syarikat (AS) adalah daripada jenis raifal AR. Dianggarkan 15 juta unit AR-15 telah terjual dan dimiliki rakyat negara itu.
Kebanyakan orang awam memiliki senjata ini sebagai koleksi dan hobi namun hakikatnya AR-15 adalah senjata pembunuh.
Banyak kes kematian direkodkan melibatkan penggunaan AR-15 sama ada untuk tujuan menyerang atau mempertahankan diri dilaporkan
Berdasarkan statistik Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada 2016, daripada 10,273 mangsa yang maut dalam serangan senjata api di AS, 374 melibatkan penggunaan AR-15
AR-15 telah diharamkan di AS dari 1994 hingga 2004 oleh pentadbiran Presiden Bill Clinton di bawah Larangan Senjata Serangan Persekutuan. Arahan ini secara tidak langsung melonjakkan permintaan terhadapnya.
Bagaimanapun arahan larangan ini dibiarkan tamat tempoh dan tidak diperbaharui ketika era pentadbiran Presiden George W Bush.