Ini 6 penganjuran acara, festival 2020 terjejas akibat COVID-19
Najmi Syahiran Mamat
Mei 9, 2020 22:17 MYT
Mei 9, 2020 22:17 MYT
TAHUN 2020 memberi seribu kekecewaan ramai pihak apabila penganjuran festival dan acara terkemuka tahunan yang dinanti-nantikan saban tahun terpaksa dihentikan.
Ada juga pihak penganjur mengambil keputusan ‘selamat’ untuk menangguhkan acara mereka kepada tarikh baharu bagi mengelakkan para peminat menarik diri dari penyertaan.
Berikut antara penganjuran acara dan festival dunia yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 yang kini meragut lebih 255,000 nyawa di seluruh dunia.
1. Olimpik Tokyo
Tokyo bakal menjadi tuan rumah bagi temasya Olimpik dan Paralimpik tahun ini.
Acara sukan empat tahun sekali itu, bagaimanapun, pada awalnya ditangguhkan selama setahun susulan penularan wabak COVID-19.
Namun, pada akhir Mac, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Olimpik Tokyo mengumumkan tarikh baharu bagi temasya sukan itu yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Biarpun begitu, menurut penganalisis penyakit berjangkit Universiti Kobe, Kentaro Iwata, beliau berpandangan bahawa acara itu mungkin tidak akan berlaku dalam tempoh 15 bulan lagi.
2. Sidang Kemuncak ASEAN
Sidang Kemuncak ASEAN ialah mesyuarat setiap setengah tahun yang diadakan oleh ahli-ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara bagi membincangkan isu-isu berhubung pembangunan ekonomi, politik, keamanan dan sosial-budaya negara-negara Asia Tenggara.
Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc sebelum ini mencadangkan sidang kemuncak ke-36 ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand dan mesyuarat berkaitan ditangguhkan.
Acara-acara itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 8 hingga 9 April lalu.
Antara lain, beliau mengesyorkan agar acara sidang itu ditangguhkan sehingga akhir Jun nanti.
Walaubagaimanapun, susulan pandemik COVID-19, satu Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 yang julung kali diadakan secara dalam talian pada 14 April lalu.
3. F1 Grand Prix
Sukan permotoran juga menerima nasib yang sama.
Perlumbaan F1 Grand Prix Shanghai, umpamanya, dijadualkan berlangsung pada 19 April.
Namun, pihak penganjur berkata, akan menimbang tarikh alternatif yang berpotensi pada akhir tahun ini jika keadaan bertambah baik.
Juga, perlumbaan Formula E pula telah membatalkan rancangan untuk perlumbaan di Sanya pada 21 Mac lalu.
4. Festival Muzik Coachella, Amerika Syarikat (AS)
Festival muzik dan seni popular, Coachella yang bertempat di California, Amerika Syarikat turut ditangguhkan gara-gara penularan pandemik COVID-19.
Festival yang mengumpulkan barisan artis ternama itu kini menerima tarikh baharu iaitu dijangka berlangsung pada 9 hingga 18 Oktober ini.
Menurut pihak penganjur, semua pembelian tiket akan tertakluk kepada tarikh baharu berkenaan.
Namun, bagi mereka yang tidak dapat menghadiri festival itu pada Oktober ini, penganjur memberi alternatif bayaran balik wang tiket yang akan diumumkan kelak.
“Ketika keputusan ini dibuat pada waktu ketidaktentuan oleh seluruh dunia, kami mengambil kira isu keselamatan dan kesihatan penonton, staf dan komuniti dengan serius,” kata penganjur menerusi kenyataan dibuat pada Mac lalu.
Untuk rekod, kumpulan sensasi Korea Selatan, Big Bang sepatutnya bakal membuat kemunculan semula (comeback) di festival itu tahun ini.
5. Konsert jelajah Avril Lavigne di Asia
Konsert jelajah dunia bagi penyanyi yang ingin menempa nama mereka juga merupakan ‘mangsa’ kepada penularan wabak ini.
Baru-baru ini, penyanyi rock Avril Lavigne mengumumkan berita sedih kepada peminatnya kerana terpaksa membatalkan konsert jelajahnya di Asia yang dijadualkan berlangsung April lalu sehingga bulan ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Complicated" itu difahamkan membatalkan beberapa konsertnya di beberapa buah negara termasuk Filipina, China, Taiwan dan Jepun.
Selain Avril, beberapa konsert artis ternama dunia turut membuat keputusan sukar.
Antaranya, BTS, Taylor Swift, kumpulan rock Bon Jovi dan Miley Cyrus.
6. Festival Air Songkran, Myanmar
Selain sidang mesyuarat antarabangsa, festival muzik dan temasya sukan, nasib sama buat acara tradisional.
Di Myanmar, festival Songkran Tahun Baharu Myanmar atau Thingyan, umpamanya, turut terjejas susulan sekatan perjalanan yang dilaksanakan oleh kerajaan tersebut berkuat kuasa 10 April lalu.
Festival tahunan itu dijadual bermula pada 13 hingga 16 April, dan diraikan secara tradisional di seluruh negara.
Semua aktiviti air melibatkan festival tersebut terpaksa dibatalkan tahun ini susulan pandemik COVID-19.
Setakat ini, Myanmar merekodkan 161 kes positif COVID-19 dengan enam kematian.
#Avril Lavigne Tour
#California
#Coachella Festival
#F1
#Filipina
#Grand Prix
#koronavirus
#Olimpik
#Sidang Kemuncak ASEAN
#Songkran
#Taylor Swift
#Tokyo