Ini 5 fakta berkenaan Robert Gabriel Mugabe
Astro Awani
September 6, 2019 19:59 MYT
September 6, 2019 19:59 MYT
BEKAS pemimpin diktator Zimbabwe, Robert Gabriel Mugabe meninggal dunia pada usia 95 tahun di sebuah hospital di Singapura pagi tadi.
Kematian Mugabe disahkan oleh Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa.
Berikut adalah lima fakta berkenaan Mugabe:
1. Bermula sebagai pendidik
Tamat pendidikan di sebuah universiti di Afrika Selatan, Mugabe memulakan kerjaya beliau sebagai guru sekitar tahun 1940an-1950an. Beliau pernah mengajar di Zambia dan Ghana - sekali gus dipengaruhi oleh pemimpin gerakan kemerdekaan Afrika.
2. Dua ijazah ketika dipenjara
Pada tahun 1964, Mugabe dipenjara akibat gerakan politik kempen kemerdekaannya. Namun, ketika dipenjara, beliau berjaya meraih dua ijazah undang-undang menerusi pengajian jarak jauh University of London.
3. PM pertama pasca merdeka
Parti Mugabe, Zimbabwe African National Union - Patriotic Front (ZANU-PF) memenangi pilihanraya pertama Zimbabwe pasca kemerdekaan. Beliau menjadi perdana menteri pada 18 April 1980.
4. Diktator, dipalit kontroversi
Presiden tertua di dunia itu tidak pernah menyerah kalah walau terima pelbagai tekanan. Daripada tentera, dilucutkan status ketua parti ZANU-PF hingga ratusan ribu rakyat Zimbabwe turun ke jalanan, dia tetap tidak berganjak. Bagaimanapun beliau tetap disanjung orang-orang Afrika sebagai wira perjuangan demi kemerdekaan.
5. Dipaksa letak jawatan, rampasan kuasa
Pada 2017, Mugabe dipaksa untuk meletakkan jawatan sekitar bulan November diikuti rampasan kuasa tentera. Emmerson Mnangagwa, individu yang dipecatnya sebagai Timbalan Presiden - kini mengambil alih status Presiden.
#diktator
#meninggal dunia
#Perdana Menteri
#presiden
#rampasan kuasa tentera
#Robert Mugabe
#undang-undang
#Zimbabwe