Ingat hamil tujuh anak, rupanya wanita lahirkan kembar sembilan
Gempak
Disember 23, 2022 11:41 MYT
Disember 23, 2022 11:41 MYT
SEORANG wanita yang menyangka dirinya hamil dengan tujuh anak kembar terkejut kerana bilangan anak yang dikandungnya lebih dari jangkaan.
Pada hari kelahiran yang terjadi 4 Mei 2021, wanita yang dikenali sebagai Halima itu sebaliknya telah melahirkan sembilan anak kembar; lima daripadanya perempuan sementara empat lagi lelaki.
Meskipun sembilan anaknya dilahirkan sebagai anak pramatang pada usia kandungan 30 bulan, kesemua mereka masih hidup sehingga kini. Itu telah mencatatkan rekod baharu Guinness World Records yang menyifatkan ia sebagai kejadian luar biasa.
Menerusi kemas kini dalam Instagram rasmi organisasi yang mengiktiraf pelbagai perkara pelik dan penuh rekod di seluruh dunia itu, Halima dikhabar melahirkan sembilan anaknya di sebuah klinik di Casablanca, Maghribi secara pembedahan.
“Melahirkan anak kembar sembilan adalah sesuatu yang sangat ajaib. Sehingga kini, belum ada rekod lain yang mengatasi kelahiran sembilan anak ini serentak dan masih bertahan dan hidup,” kata Guinness World Records.
Sementara itu suami Halima mengatakan tidak menyangka isterinya hamil dengan sembilan kembar kerana selama kehamilannya mereka maklum bakal menimang tujuh anak kembar.
“Kami tidak sedar Halima sebenarnya hamil dengan sembilan kembar sehingga tiba hari melahirkan mereka. Bukan tujuh tetapi sembilan anak kembar dan kami sangat bersyukur dengan pemberian Tuhan,” katanya.
Pasangan itu menamakan anak-anak perempuannya dengan nama Adama, Oumou, Hawa, Kadidia, Fatouma, manakala empat anak lelakinya diberi nama Oumar, Elhadji, Bah dan Mohammed VI. -- Gempak