'Influencer' vegan meninggal dunia pada usia 39 tahun
Astro Awani
Ogos 4, 2023 09:50 MYT
Ogos 4, 2023 09:50 MYT
SEORANG chef dan pempengaruh terkenal yang sering mempromosikan kegemarannya makan makanan mentah di media sosial dilaporkan "meninggal dunia akibat kebuluran" pada usia 39 tahun.
Wanita warganegara Rusia, Zhanna Samsovova, atau dikenali sebagai Zhanna D'Art telah mengamalkan pemakanan vegan selama lebih 10 tahun.
Namun sejak empat tahun kebelakangan ini dia hanya memakan buah, biji bunga matahari, tauge dan jus buah, memetik laporan akhbar tempatan Vechernyaya Kazan.
Ibunya Vera Samsonova memberitahu, Zhanna meninggal dunia pada 21 Julai lalu akibat "jangkitan kolera".
Zhanna, yang dipercayai menetap di Phuket, Thailand, dijadual pulang ke negaranya pada hari yang sama.
Ketika ini pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kematian Zhanna namun Vera percaya anaknya itu maut akibat gaya pemakanannya.
Seorang rakan Zhanna yang tidak ingin dikenali memberitahu agensi berita Newsflash, Zhanna kelihatan sangat letih dan kakinya bengkak apabila mereka bertemu di Sri Lanka beberapa bulan lepas.
"Dia dihantar pulang untuk mendapat rawatan namun dia melarikan diri.
"Apabila saya bertemu dia semula di Phuket, saya sangat terkejut," katanya.
Seorang lagi rakan Zhanna memberitahu media tempatan, dia hanya memakan durian sejak tujuh tahun kebelakangan ini.
Tujuh minggu lalu Zhanna memuat naik satu video yang memaparkan dia sedang memakan raja buah itu di Thailand.