Inflasi teras Singapura turun kepada 3.4 peratus pada Ogos

Bernama
September 25, 2023 10:23 MYT
MAS dan MTI berkata penurunan daripada 3.8 peratus pada Julai adalah disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan, makanan dan runcit serta barangan lain. - Gambar fail/Pixabay
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura menyederhana kepada 3.4 peratus pada asas tahun ke tahun pada Ogos, daripada 3.8 peratus pada bulan Julai.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) berkata penurunan daripada 3.8 peratus pada Julai adalah disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan, makanan dan runcit serta barangan lain.
MAS, bank pusat, memantau inflasi teras yang mengecualikan komponen "penginapan" dan "pengangkutan persendirian" kerana kedua-duanya cenderung dipengaruhi dengan ketara oleh dasar pentadbiran bahagian bekalan dan tidak menentu.
Sementara itu, inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP)-Semua Barangan turun kepada 4.0 peratus pada Ogos, daripada 4.1 peratus pada Julai.
"Ini disebabkan oleh penurunan dalam inflasi teras dan penginapan, yang lebih daripada mengimbangi peningkatan inflasi pengangkutan persendirian," menurut kenyataan itu.
Pada asas bulanan, IHP teras meningkat 0.1 peratus, disebabkan kos makanan dan perkhidmatan yang lebih tinggi manakala IHP-Semua Barangan menambah 0.9 peratus apabila kos penginapan dan pengangkutan persendirian meningkat.
Mengenai prospek, MAS dan MTI berkata geseran rantaian bekalan global telah berkurangan dan harga komoditi makanan masih kekal di bawah paras tahun lalu.
-- BERNAMA
#Indeks Harga Pengguna #Singapura #rantaian bekalan global #kos penginapan