Inflasi teras Singapura pada 5.1 peratus pada Disember, purata 4.1 peratus untuk 2022

Bernama
Januari 25, 2023 17:51 MYT
Bagi keseluruhan 2022, Inflasi Teras MAS secara purata pada 4.1 peratus, lebih tinggi daripada 0.9 peratus yang dicatatkan pada 2021.- Fail/REUTERS
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura berada pada 5.1 peratus bagi asas tahun ke tahun (y-o-y) pada Disember, tidak berubah dari November, menurut Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Sementara itu, inflasi Semua Barang Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun kepada 6.5 peratus tahun ke tahun pada Disember, berbanding daripada 6.7 peratus pada November.
"Ini disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan swasta yang lebih perlahan," kata kenyataan itu.
Pada asas bulanan, IHP teras meningkat sebanyak 0.6 peratus manakala Semua Barang IHP naik sebanyak 0.2 peratus.
Bagi keseluruhan 2022, Inflasi Teras MAS secara purata pada 4.1 peratus, lebih tinggi daripada 0.9 peratus yang dicatatkan pada 2021.
Dalam tempoh yang sama, inflasi Semua Barang IHP naik 6.1 peratus, meningkat daripada 2.3 peratus pada 2021.
Mengenai prospek, kenyataan itu berkata keadaan permintaan dalam ekonomi utama telah berkurangan manakala masalah rantaian bekalan juga turut terus berkurangan.
"Harga tenaga dan komoditi makanan telah memuncak pada awal 2022 tetapi kekal tinggi. Di samping itu, pasaran buruh dalam ekonomi maju utama masih bermasalah, mengekalkan tekanan yang kuat pada gaji," katanya.
Secara keseluruhannya, kenyataan itu berkata apabila kos terkumpul melalui rantaian nilai global, inflasi import Singapura dijangka kekal kukuh untuk beberapa waktu.
-- BERNAMA
#Singapura #Inflasi #Indeks Harga Pengguna #Pihak Berkuasa Monetari Singapura
;