Inflasi tahunan New Zealand capai angka tertinggi

Bernama
Julai 18, 2022 13:22 MYT
Indeks harga pengguna New Zealand meningkat 7.3 peratus pada suku Jun 2022 tahun ke tahun, paras tertinggi dalam tempoh 32 tahun berikutan kenaikan harga di sektor pembinaan dan petrol. - Gambar hiasan
WELLINGTON: Indeks harga pengguna New Zealand meningkat 7.3 peratus pada suku Jun 2022 tahun ke tahun, paras tertinggi dalam tempoh 32 tahun berikutan kenaikan harga di sektor pembinaan dan petrol, lapor Xinhua, memetik jabatan negara itu, Stats NZ pada Isnin.
Kenaikan 7.3 peratus itu susulan peningkatan tahunan sebanyak 6.9 peratus pada suku Mac 2022, sebelum ini, kenaikan tahunan terbesar sejak peningkatan 7.6 peratus pada suku Jun 1990 yang berlaku sejurus selepas pengenalan Akta Rizab Bank New Zealand 1989 untuk menangani inflasi yang tinggi ketika itu.
Menurut Stats NZ, pemacu utama inflasi tahunan yang tinggi pada suku Jun 2022 adalah sektor perumahan dan utiliti isi rumah, berikutan kenaikan harga di sektor pembinaan dan sewa untuk perumahan.
Harga bagi pembinaan kediaman baharu meningkat 18 peratus pada suku itu berbanding suku Jun 2021, kata laporan itu.
"Isu rantaian bekalan, kos buruh dan permintaan yang lebih tinggi terus meningkatkan kos pembinaan rumah baharu," kata Pengurus Besar Stats NZ Jason Attewell dalam satu kenyataan.
Peningkatan tahunan sebanyak 18 peratus pada tahun hingga suku Jun menyusul lonjakan 18 peratus pada Mac dan kenaikan 16 peratus pada Disember 2021, kata Attewell.
Penyumbang kedua terbesar kepada inflasi tahunan adalah sektor pengangkutan, berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, katanya.
Harga petrol naik 32 peratus pada suku Jun 2022, kenaikan tahunan terbesar sejak suku Jun 1985. Dalam tempoh yang sama, harga diesel melonjak 74 peratus, menurut statistik itu.
-- BERNAMA
#New Zealand #Stats NZ #Akta Rizab Bank New Zealand 1989 #Indeks Harga Pengguna
;