Inflasi sehingga 4,000 peratus! Cipta matawang baharu beli barangan

APTN
Disember 17, 2017 13:54 MYT
Not Panal dengan potret mendiang Hugo Chavez yang digunakan di komuniti di Caracas (foto: REUTERS/Marco Bello)
Selepas jelak dengan kadar inflasi yang melambung tinggi, kumpulan pro-kerajaan sebuah bandar di Venezuela mencipta matawang sendiri untuk membantu rakyat membeli barangan keperluan seharian.
Matawang baru itu yang diberi nama Panal, bagaimanapun hanya boleh digunakan di beberapa kedai di Caracas.
Matawang Venezuela, Bolivar, telah hilang sebanyak 96 peratus nilainya pada 2017.
Ini menjadikan warga Venezuela sukar untuk membeli barangan keperluan seharian kerana memerlukan sejumlah Bolivar yang menimbun!
Matawang Panal ini menyambut cadangan mendiang presiden Hugo Chavez yang ingin matawang komuniti diwujudkan sebelum kematiannya.
Menurut pelbagai laporan agensi berita antarabangsa, kadar inflasi di Venezuela kini berada di sekitar 530 ke 4,000 peratus.
Idea Panal ditentang kumpulan pembangkang yang menyifatkannya menambah kekacauan kepada krisis matawang Venezuela.
Venezuela terjerumus ke dalam krisis ini selepas bergantung tinggi kepada hasil minyak mentah, yang kini berada pada separuh daripada harga tertingginya sebelum ini.
Ini mengakibatkan negara berkenaan mempunyai hutang yang tinggi, ekonominya menguncup dan kadar pengangguran meningkat.
Memburukkan keadaan, kerajaan turut mengawal harga barangan dengan ketat, melambakkan jumlah Bolivar dalam pasaran untuk membantu rakyat membeli makanan dan menaikkan gaji dengan mendadak.
#Bolivar #hilang #Inflasi #kerajaan #minyak #pembangkang #presiden #rakyat #Venezuela
;