Inflasi, pengguguran antara isu bagi pengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal AS

Bernama
November 9, 2022 12:40 MYT
Calon Republikan telah menekankan jenayah, inflasi dan imigresen sebagai sebahagian daripada manifesto kempen mereka. - AP
WASHINGTON: Inflasi dan pengguguran mendahului senarai isu yang menjadi kepentingan pengundi Amerika Syarikat (AS) pada pilihan raya separuh penggal 2022, menurut tinjauan yang dikeluarkan petang Selasa.
Tinjauan NBC News Exit Poll mendapati hampir satu pertiga pengundi menamakan inflasi dan 27 peratus menamakan pengguguran sebagai isu paling penting tahun ini, lapor Xinhua.
Sementara itu, jenayah dan polisi senjata api -- masing-masing memperoleh 12 peratus, diikuti oleh imigresen, berjumlah 10 peratus.
Calon Republikan telah menekankan jenayah, inflasi dan imigresen sebagai sebahagian daripada manifesto kempen mereka.
Sebaliknya, Demokrat sangat bimbang tentang pengguguran dengan 46 peratus menamakannya sebagai isu paling penting, diikuti inflasi dan dasar senjata api.
Dalam pilihan raya tahun ini, kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan AS dipertandingkan termasuk 35 daripada 100 kerusi Senat.
Pilihan raya negeri dan tempatan yang lain turut dipertandingkan.
-- BERNAMA
#pilihan raya pertengahan penggal #Amerika Syarikat #Inflasi #isu pengguguran
;