Inflasi: Jerman tambah 65 bilion euro pakej rangsangan

Astro Awani
September 5, 2022 09:15 MYT
Olaf Scholz, Canselor Jerman. - Gambar fail
JERMAN akan melaksanakan pakej rangsangan tambahan ketiga bernilai 65 bilion euro.
Ia sebahagian usaha baharu bagi meredakan tekanan inflasi dan harga tenaga yang tinggi untuk pengguna.
"Jerman bersatu teguh dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar. Sebagai sebuah negara, kita akan berjaya mengharungi detik yang sukar ini.
"Kita telah membuat semua keputusan bagi memastikan bekalan tenaga kita mencukupi, walaupun kita dicabar oleh tindakan yang diambil Rusia," kata Canselor Olaf Scholz pada satu sidang media di Berlin pada Ahad.
Beliau turut mengumumkan beberapa langkah untuk membantu pengguna menampung kos tenaga.
Ini termasuk pembayaran tambahan secara one-off kepada pengguna untuk membiayai kos tenaga; harga siling ke atas jumlah asas penggunaan tenaga oleh keluarga dan individu; dan pengganti sistem 'tiket 9-euro' untuk transit awam seluruh negara.
"Pakej bantuan ketiga yang kita usahakan ini lebih besar daripada gabungan dua pakej pertama. Kita bercakap tentang jumlah bajet yang besar, 65 bilion euro.
"Jika anda campurkan kesemuanya, ia berjumlah 95 bilion euro," katanya.
Scholz berkata beliau sedar ramai rakyat Jerman sedang bergelut untuk menghadapi kenaikan harga dan kerajaan bersedia untuk membantu.
Sebagai tambahan kepada bayaran 300 euro yang diumumkan sebelum ini untuk pekerja, bagi membantu mengimbangi kos tenaga, kerajaan merancang menawarkan pembayaran one-off untuk golongan lain.
Sebagai contoh, pesara akan menerima 300 euro manakala pelajar akan menerima 200 euro.
Kerajaan Scholz berdepan tekanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menunjukkan bagaimana ia merancang melaksanakan janjinya untuk membantu pengguna menanggung kos inflasi dan harga tenaga yang lebih tinggi.
#Jerman #Inflasi #pakej rangsangan tambahan #harga tenaga tinggi
;