Inflasi AS jejas kos penjagaan anak, sewa, insurans - WSJ

Bernama
Ogos 13, 2024 13:15 MYT
Syarikat besar berkata mereka melihat pengguna mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan yang tidak penting. - Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Inflasi di Amerika Syarikat semakin perlahan, tetapi orang ramai sebenarnya tidak merasakannya, kerana harga bagi banyak perkara yang sukar dielakkan masih mencatatkan peningkatan yang membebankan, lapor Xinhua yang memetik laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin.
Sewa dan bil elektrik meningkat lebih 10 peratus dalam tempoh dua tahun lepas, manakala kos insurans kereta melonjak hampir 40 peratus, menurut indeks Jabatan Buruh. "Pembeli mungkin boleh beralih daripada daging stik utama kepada potongan daging yang lebih murah di pasar raya, tetapi mereka tidak boleh berbuat perkara yang sama dengan bil air," menurut laporan itu.
"Kami mula kehabisan pilihan dalam mengurangkan perbelanjaan," kata David Bieri, seorang ahli ekonomi dan profesor di Virginia Tech.
Harga yang meningkat menjadi isu utama di negara itu sejak tiga tahun lepas, mempengaruhi perasaan rakyat Amerika terhadap ekonomi dan bagaimana mereka merancang untuk mengundi. Pasaran pekerjaan yang semakin lemah hanya akan meningkatkan kebimbangan mereka, menurut WSJ.
Syarikat besar berkata mereka melihat pengguna mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan yang tidak penting. Sebagai contoh, eksekutif McDonald's baru-baru ini berkata bahawa mereka akan menekankan pakej hidangan AS$5 dan tawaran lain, dengan menyatakan bahawa pelanggan yang terkesan dengan inflasi mula membeli lebih sedikit barangan setiap kali berkunjung ke kedai atau mereka memilih untuk makan di rumah.
Jenis perbelanjaan lain lebih sukar untuk dielakkan dan kebanyakan barangan itu mengambil sebahagian besar belanjawan isi rumah. Secara keseluruhan, harga pengguna telah meningkat 6 peratus sejak Jun 2022, apabila inflasi mencapai tahap tertinggi baru-baru ini, katanya.
"Perkhidmatan -- yang merangkumi pembersihan gigi, potongan rambut dan penjagaan warga emas -- meningkat hampir dua kali lebih cepat. Ini sebahagiannya kerana doktor gigi, salun dan rumah penjagaan terpaksa menaikkan gaji untuk pekerja mereka sendiri, yang juga berdepan dengan kenaikan harga," menurut laporan itu.
Perumahan adalah perbelanjaan bulanan terbesar bagi isi rumah di AS. Dalam Indeks Harga Pengguna (CPI), kos tempat tinggal -- ukuran sewa dan kos setara untuk pemilik rumah, serta kos untuk penginapan di luar rumah dan insurans isi rumah -- telah meningkat lebih 13 peratus dalam tempoh dua tahun, menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#inflasi Amerika Syarikat #harga meningkat #sewa #onsurans
;