Industri seks bukan produk pelancongan direstui kerajaan Thailand - Narong Sangprasita
Muhafandi Muhamad
Februari 1, 2025 12:40 MYT
Februari 1, 2025 12:40 MYT
HATYAI: Perniagaan melibatkan rumah urut, premis hiburan, pelacuran dan sebagainya bukanlah industri yang diminati oleh kerajaan Thailand untuk ditawarkan kepada pelancong asing.
Sebaliknya, kerajaan negara gajah putih itu lebih berminat menawarkan produk pelancongan berkaitan sejarah, budaya, warisan serta tempat tempat menarik kepada pelancong asing.
Walaupun industri seks sebahagian produk pelancongan yang turut menyumbang kepada rantaian ekonomi negara, namun, kerajaan Thailand tidak menggalakkan industri tersebut berada dalam agenda pelancongan mereka.
Menurut Ketua Pelancongan dah Sukan Pattani, Narong Sangprasita, kerajaan Thailand tidak pernah sama sekali meletakkan keutamaan mempromosi seks di kawasan Pattani maupun di Hatyai.
Kata beliau, aktiviti seks yang kelihatan di depan mata di beberapa wilayah negara itu adalah bertentangan
dengan undang-undang.
"Tentang industri seks itu bukan kata tak ada…. masih ada di Betong dan Sungai Golok tetapi semakin kecil.
"Sebenarnya apa yang ada merupakan yang haram dan menyalahi (undang-undang), mereka menjalankan perniagaan secara tidak sah" katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada karnival pantai di sini, baru-baru ini.
Sangprasita turut menegaskan, kerajaan Thailand tidak pernah berminat menawarkan industri seks kepada pelancong asing.
"Kami lebih suka promosi pelancongan kreatif makanan, budaya di kawasan selatan Thai macam di Pattani dan Narathiwat ramai orang Islam dan kami lebih tekankan pelancongan pelbagai budaya, " tambah beliau.
Katanya, di kawasan selatan Thailand seperti Pattani, Narathiwat, Songkla, Hatyai dan Surat thani, selain makanan yang menjadi tumpuan pelancong, produk kebudayaan, sejarah dan warisan turut boleh dijadikan tarikan.
Dalam masa sama, Sangprasita berkata, ketika ini, kawasan panas pelacuran di sungai Golok, Danok, Betong semakin berkurangan.
Jelasnya, pihak berkuasa cuba mengubah persepsi serta pandangan orang ramai dengan tidak melabelkan
Thailand semata mata sebagai pusat hiburan dan pelacuran semata-mata.
Menurut Sangprasita, pelbagai kebudayaan, semangat perpaduan antara kaum melalui pembinaan masjid Kerisik, tokong cina dikenali dengan nama Tokong Mek berusia lebih 300 tahun antara warisan sejarah yang boleh ditampilkan sebagai produk pelancongan.
Thailand juga, jelasnya, mempunyai kawasan pelancongan seperti pantai, hutan dan gunung ganang yang boleh dijadikan sebagai eko pelancongan.
Kerajaan Thailand kini giat menambah baik fasiliti dan bangunan warisan di kawasan pattani dan hatyai sebagai usaha menarik kehadiran pelancong dari Malaysia.
Untuk rekod lebih dua juta pelancong mengunjungi Hatyai, Pattani, Songkla dan Narathiwat sepanjang tahun lepas dengan anggaran lebih 2 bilion bath dibelanjakan pelancong sepanjang tahun lepas.
Kebanyakan pelancong berkunjung ke negara itu untuk menikmati makanan tempatan dan membeli pakaian.