Indonesia: Wanita temui ajal selepas cabut gigi geraham
Sinar Harian
Mei 11, 2024 14:58 MYT
Mei 11, 2024 14:58 MYT
JAKARTA: Seorang wanita yang mencabut sebatang gigi gerahamnya atas nasihat doktor di Ngawi, Jawa Timur telah meninggal dunia baru-baru ini.
Malah, doktor mengendalikan kes ini tidak mahu bertanggugjawab dengan memberikan alasan bahawa semua pembedahannya mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Mengimbas kembali kisah ini, suami mangsa Davin Ahmad Sofian, 28, menceritakan isterinya, Nira Pranita Asih, 31, telah mengadu sakit gigi geraham pada 28 Disember 2023.
Kemudian, Davin membawa isteriya pergi ke sebuah Klinik Pergigian Walikukun yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya.
Katanya, selepas melakukan imbasan sinar X di sebuah Hospital Sarila Husada, doktor klinik di sana mencadangkan isterinya perlu mencabut geraham selepas ia dilihat condong ke kiri.
"Bagaimanapun selepas melakukan prosedur pembedahan kecil itu, gusi isteri saya kelihatan membengkak di bahagian belakang.
"Kemudian saya membawanya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Panti Waluyo Solo dan doktor mendapati terdapat jangkitan pada tekak isteri saya," katanya.
Sehari selepas itu, Davin membawa Nira ke Hopital JIH dan isterinya dibenarkan pulang selepas keadaan kesihatannya semakin pulih.
Bagaimanapun beberapa hari kemudian, Nira didapati tidak boleh bercakap selain mengalami sakit tekak dan doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman.
"Memandangkan ubat antibiotik tidak berkesan, kami membawanya ke Hospital Dr Oen Solo kerana jangkitan merebak sehingga saluran pernafasan," katanya.
Pada 4 Januari lalu, keadaan ibu kepada seorang anak semakin tenat dan terpaksa memakai alat bantuan pernafasan selain perlu melakukan pembedahan di lehernya.
"Keadaan semakin teruk selepas Nira menjalani pembedahan di leher serta lapisan paru-paru kanan dan pada masa sama dia ditempatkan di ICU.
"Selepas keluar dari hospital itu, Nisa tidak boleh bercakap selama sebulan kerana lehernya ditebuk dan terpaksa makan mengunakan tiub selain sukar berjalan.
"Keadaannya semakin-lama semakin merosot sehingga berat badan mencecah 27 kilogram dan dia meninggal dunia pada 27 April tahun ini," katanya sambil menambah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor yang mencadangkan isterinya mencabut gigi geraham itu. - Agensi
*Artikel disiarkan di Sinar Harian