Indonesia unjur pertumbuhan eksport sehingga 9.6 peratus menjelang 2029
Bernama
November 19, 2024 07:45 MYT
November 19, 2024 07:45 MYT
JAKARTA: Kementerian Perdagangan Indonesia meramalkan penghantaran ke luar negara berpotensi meningkat sehingga 9.6 peratus menjelang 2029, didorong oleh peningkatan perdagangan global, kata seorang pegawainya pada Selasa, lapor Xinhua.
Ketua Agensi Dasar Perdagangan kementerian itu, Fajarini Puntodewi berkata, eksport Indonesia ke negara-negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas sedang menunjukkan trend peningkatan dan dijangka terus berkembang.
"Sasaran eksport adalah antara tujuh peratus hingga 9.6 peratus menjelang akhir 2029," katanya.
Berdasarkan data Kementerian Perdagangan, eksport kumulatif Indonesia mencapai AS$192.85 bilion setakat September tahun ini, mencatatkan kenaikan tahunan sebanyak 0.32 peratus.
Puntodewi optimis sasaran itu akan dicapai memandangkan eksport Indonesia terus mengalami pertumbuhan.
Antara produk eksport utama negara ini ialah minyak sawit, koko, kopi, getah, arang batu, timah, udang, perabot, dan komoditi-komoditi lain. - BERNAMA