Indonesia umum peraturan baharu tentang kebenaran bawa 'power bank' dalam pesawat

Agensi
Mac 15, 2018 20:23 MYT
Untuk mengelakkan sebarang masalah sewaktu pemeriksaan keselamatan, pastikan anda hanya membawa power bank yang mempunyai upaya 100Wh ke bawah. - Gambar hiasan
Ketua Pengarah Perhubungan Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Agus Santoso, baru-baru ini mengumumkan peraturan baharu bagi penumpang pesawat berkaitan membawa bateri pengecas tambahan, atau power bank.
Aturan baharu berkaitan power bank dan bateri lithium itu dinyatakan dalam Surat Edaran Keselamatan Nombor 015 (Tahun 2018).
Agus menjelaskan, hanya power bank dengan upaya 100 Wh ke bawah yang boleh dibawa oleh penumpang pesawat. Begitupun, power bank itu perlu dibawa dalam beg ruang kabin, bukan disimpan dalam bagasi yang didaftar masuk.
“Hanya peralatan dengan upaya cas besar yang tidak dibenarkan. Yang kecil, dibolehkan sesuai ketetapan.
“Peraturan ini juga mula diguna pakai oleh negara maju dalam hal penerbangan. Ini perlu dilakukan demi menjaga keselamatan penerbangan," ujar Agus seperti yang dipetik portal berita Detik.
Agus menegaskan peraturan itu adalah untuk dituruti syarikat penerbangan dalam dan luar negara, yang terbang keluar dari, atau masuk ke Indonesia.
Peraturan tersebut dipercayai diambil selepas berlaku letupan dan kebakaran power bank dalam sebuah beg bimbit di ruang simpanan sebuah penerbangan di China.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Surat ini adalah untuk mencegah agar hal tersebut tidak terjadi di Indonesia," ujarnya.
Sementara itu, dalam hal berkaitan, portal berita Kompas.com menggariskan empat perkara yang perlu diambil perhatian oleh pengembara dan pelancong yang hendak menaiki pesawat.
Pertama, ketahui upaya kuasa power bank yang dibawa dalam bagasi yang didaftar masuk atau yang dibawa dalam kabin. Power bank yang dibenarkan masuk ke dalam pesawat adalah yang tidak lebih daripada 100Wh. Jika kuasanya antara 100 Wh hingga 160 Wh, peralatan itu perlu melalui persetujuan petugas penerbangan. Sementara itu, jika kuasanya lebih daripada 160 Wh, ia sama sekali tidak boleh dibawa masuk ke dalam pesawat.
Kedua, power bank tidak boleh digunakan di dalam pesawat. Ini bermakna, power bank itu tidak boleh terhubung dengan sebarang alatan elektronik seperti telefon bimbit atau kamera untuk pengecasan.
Ketiga, pengecasan kuasa bateri alatan elektronik perlu dibuat sebelum atau selepas waktu penerbangan, seperti di lapangan terbang ataupun sudah dicas penuh sebelum keberangkatan.
Keempat, manfaatkan fasiliti mengecas yang sedia ada dalam pesawat.
#CAS #Indonesia #keselamatan #kuasa bateri #Peranti Elektronik #Peraturan #pesawat #power bank #Telefon bimbit
;