Indonesia-UAE kerjasama memerangi pencemaran plastik di sungai

Bernama
September 7, 2024 04:00 MYT
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Clean Rivers dan UNDP akan mengendalikan 5,000 tan sisa plastik di lima kawasan sungai dengan melaksanakan program pembersihan. - Gambar hiasan
JAKARTA: Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian baharu untuk bersama-sama memerangi pencemaran plastik di sungai Indonesia, lapor Agensi Berita ANTARA.
Kerjasama itu yang dirasmikan pada Jumaat, bertujuan menangani cabaran alam sekitar dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam menangani isu pencemaran sungai yang semakin meningkat.
"Perkongsian ini merupakan pencapaian baharu dalam mengukuhkan kerjasama antara Indonesia dan UAE untuk mengatasi masalah alam sekitar," kata timbalan penyelarasan pengurusan alam sekitar dan perhutanan di Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Nani Hendiarti, pada Forum Kelestarian Indonesia (ISF) 2024, di sini, pada Jumaat.
Perjanjian itu dimuktamadkan melalui penandatanganan perjanjian antara Clean Rivers, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di UAE, dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk membersihkan sisa plastik, terutamanya dari sungai Indonesia.
Perjanjian itu merupakan susulan kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani April lepas antara Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan dan Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.
"Tumpuan (perkongsian) adalah untuk mengurangkan kebocoran plastik ke lautan dengan mengukuhkan usaha mengendalikan sisa di sungai dan memprosesnya menggunakan pendekatan ekonomi kitaran," Hendiarti memaklumkan.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya, Clean Rivers dan UNDP akan mengendalikan 5,000 tan sisa plastik di lima kawasan sungai dengan melaksanakan program pembersihan dan berusaha untuk mengelakkan kebocoran sisa ke lautan.
Kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan serta aktivis alam sekitar dan masyarakat amat penting untuk mengukuhkan sistem pengurusan sisa bersepadu, tambah beliau.
Kerjasama sedemikian juga boleh meningkatkan kesedaran pihak berkepentingan yang berkaitan dan komuniti tentang penambahbaikan pengurusan sisa.
Program pembersihan itu akan meliputi sungai di Daerah Bekasi di Jawa Barat, Surakarta di Jawa Tengah, Surabaya dan Sidoarjo di Jawa Timur, serta Badung di Bali.
Ketua Pegawai Eksekutif Clean Rivers, Deborah Backus mengesahkan komitmennya untuk mengurangkan sisa plastik di sungai untuk lautan yang lebih bersih.
"Perkongsian dengan UNDP ini merupakan langkah pertama daripada banyak projek seterusnya di Indonesia. Kami percaya bahawa pemerkasaan komuniti adalah kunci kejayaan. Selain membersihkan sisa plastik, projek ini akan mewujudkan sistem pengurusan sisa yang mampan, serta memupuk budaya menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Residen UNDP Indonesia, Sujala Pant berkata, kerjasama merentas sektor diperlukan untuk menyokong sasaran Indonesia mengurangkan sisa marin 70 peratus menjelang 2025.
"Sebagai rakan pelaksana, kami akan bekerjasama dengan kerajaan wilayah, NGO dan aktivis alam sekitar tempatan untuk memastikan setiap program pengurusan sisa boleh berjalan dengan menyesuaikan keperluan khusus setiap wilayah," tambahnya. - BERNAMA
#Indonesia #UAE #alam sekitar #pencemaran plastik
;