Indonesia tubuh 'pusat krisis' selepas isu penculikan di selatan Filipina
Agensi
April 25, 2016 17:11 MYT
April 25, 2016 17:11 MYT
Indonesia akan menubuhkan ‘pusat krisis’ yang diketuai Presiden Joko Widodo, bagi menangani situasi keselamatan melibatkan rakyatnya di luar negara, ujar seorang menteri kanan republik itu pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa kes penculikan rakyatnya di perairan Filipina, lapor Reuters.
Pusat itu turut disertai menteri-menteri kanan, pemimpin tentera dan ketua polis serta dirangka bagi bertindak pantas terhadap situasi-situasi dengan impak strategik, ujar Ketua Menteri Keselamatan Luhut Pandjaitan.
“Kami berharap pusat ini akan beroperasi secepat mungkin,” ujarnya.
Sejak memegang tampuk pentadbiran pada 2014, ketua negara yang mesra dengan panggilan Jokowi itu telah meletakkan tahap keselamatan maritim negara itu ke peringkat yang lebih tinggi.
Indonesia sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti lanun di perairan antara Indonesia dan Filipina yang semakin meruncing, dan dilihat menyamai ancaman seumpamanya seperti di Somalia.
Kapal dan bot juga telah diberikan peringatan agar menjauhi kawasan berbahaya.
Sejumlah 18 orang warga Indonesia dan Malaysia telah diculik dalam tiga serangan pada minggu-minggu kebelakangan ini di perairan Filipina oleh kumpulan yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian militan Abu Sayyaf.
Abu Sayyaf, yang telah memuat naik video ke media sosial dan berikrar setia kepada militan Daish di Iraq dan Syria, telah meminta bayaran bernilai 50 juta peso (RM11.2 juta) bagi membebaskan tebusan, namun pemerintah Indonesia bertegas tidak akan tunduk dengan tekanan itu.