Indonesia tolak sebarang cubaan pindahkan penduduk Palestin secara paksa

Bernama
Februari 6, 2025 08:00 MYT
Indonesia menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, terutamanya hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta hak mereka untuk kembali ke tanah air mereka.
JAKARTA: Indonesia dengan tegas menolak sebarang cubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atau mengubah komposisi demografi Wilayah Palestin yang diduduki, kata Kementerian Luar pada Rabu.
Dalam satu kenyataan di akaun X rasminya, kementerian itu menegaskan, tindakan sedemikian menghalang realisasi penubuhan Negara Palestin yang bebas dan berdaulat seperti yang diimpikan melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
"Indonesia menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa, terutamanya hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta hak mereka untuk kembali ke tanah air mereka," menurut kenyataan itu.
Republik itu juga menegaskan, satu-satunya jalan yang boleh membawa kepada keamanan berkekalan di rantau ini adalah dengan menangani punca asas konflik iaitu pendudukan haram dan berpanjangan oleh Israel ke atas wilayah Palestin.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan yang menyebut bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Selasa mendakwa "AS akan mengambil alih" Semenanjung Gaza, tidak lama selepas mencadangkan pemindahan kekal rakyat Palestin di luar wilayah itu atas alasan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi.
Cadangan kontroversi Trump mengundang kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa, dengan ramai pengkritik yang menganggapnya sebagai "pembersihan etnik" dan "jenayah perang," menurut laporan media antarabangsa.
-- BERNAMA
#Indonesia #pemindahan rakyat Palestin #rancangan pemulihan Gaza #Donald Trump #Amerika ambil alih Gaza
;