Indonesia tingkatkan komitmen ASEAN untuk penghapusan senjata nuklear
Bernama
April 27, 2023 21:54 MYT
April 27, 2023 21:54 MYT
JAKARTA: Indonesia sebagai pengerusi bergilir ASEAN tahun ini mendorong rantau itu menjadi blok bebas nuklear, di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang mengancam komitmen ASEAN mengenai penghapusan senjata nuklear.
Negara itu telah memulakan rundingan dengan lima rakan kongsi blok itu yang memiliki senjata nuklear - China, Perancis, Rusia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menandatangani Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
China menjadi negara pertama menyatakan kesediaannya untuk menandatangani protokol itu, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Dalam kenyataannya baru-baru ini, bekas Duta Besar Indonesia ke Chile Aloysius Lele Madja berkata, rancangan China untuk menandatangani protokol itu "sangat bermanfaat kepada ASEAN", dan mungkin mendorong negara-negara lain menandatanganinya.
Perjanjian SEANWFZ, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, telah ditandatangani oleh semua anggota ASEAN pada tahun 1995 yang komited untuk tidak membangun, mengeluar atau memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear, menempat atau mengangkut senjata nuklear atau menguji atau menggunakan senjata nuklear.
Mereka juga komited untuk tidak membuang bahan radioaktif atau sisa ke laut, ke atmosfera atau di darat dalam zon berkenaan.
Anggota ASEAN hanya boleh menggunakan bahan dan kemudahan nuklear "secara eksklusif untuk tujuan damai" dan sebarang program tenaga nuklear perlu menjalani penilaian keselamatan nuklear yang ketat mengikut garis panduan dan piawaian yang disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada tahun 1997.
-- BERNAMA