Indonesia tingkatkan kawalan keselamatan menjelang pelantikan Presiden

Bernama
Oktober 18, 2024 17:25 MYT
Pelantikan Presiden Terpilih Prabowo Subianto dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka, akan berlangsung di Dewan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Kompleks Parlimen pada Ahad 20 Oktober. - AP
JAKARTA: Ketika Indonesia bersiap sedia untuk majlis pelantikan presiden dan naib presiden baharunya dalam tempoh dua hari lagi, pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di seluruh kawasan metropolitan dengan fokus utama di Kompleks Parlimen dan Istana Negara di Jakarta Pusat.

Ringkasan AI
  • Pelantikan Presiden Terpilih Prabowo Subianto dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka, akan berlangsung di Dewan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Kompleks Parlimen pada Ahad 20 Oktober. - AP

Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah menggerakkan 100,000 anggota, termasuk tentera, polis dan anggota penguatkuasa wilayah bagi memastikan keselamatan orang kenamaan semasa acara penting itu yang akan berlangsung sehingga 23 Oktober.
Panglima TNI Jeneral Agus Subianto selepas memantau pemeriksaan keselamatan di Monumen Nasional, menekankan betapa pentingnya majlis itu, sambil menyatakan bahawa 36 ketua negara dan kerajaan asing dijangka menghadiri upacara angkat sumpah berkenaan.
"Ini lebih daripada sekadar majlis rasmi kenegaraan; ia adalah simbol penting demokrasi dan pentadbiran," katanya, sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk langkah keselamatan yang mantap. Turut hadir Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo.
Selain itu, Listyo Sigit mendedahkan bahawa 15,000 pegawai polis akan dikerahkan untuk mengawal ketenteraman dan menguruskan lalu lintas, sementara pihak berkuasa memantau dengan teliti kemungkinan protes memandangkan penyertaan awam dijangka berlaku.
Pelantikan Presiden Terpilih Prabowo Subianto dan Naib Presiden Terpilih Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Joko Widodo akan berlangsung di Dewan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) di Kompleks Parlimen pada 10 pagi waktu tempatan pada Ahad (20 Okt 2024).
Majlis akan dimulakan dengan ucapan ketua MPR Ahmad Muzani diikuti dengan bacaan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) mengenai keputusan Pilihan Raya Presiden 2024, selepas itu Prabowo dan Gibran akan mengangkat sumpah jawatan mereka.
-- BERNAMA
#Indonesia #pelantikan presiden #kawalan keselamatan #Prabowo Subianto #Joko Widodo
;