Indonesia, Thailand sasar tingkatkan kerjasama pendidikan

Bernama
Jun 22, 2024 05:00 MYT
Ramai pelajar Thailand, termasuk mereka yang mendapat biasiswa, sedang melanjutkan pengajian di Indonesia, terutamanya di Yogyakarta.
JAKARTA: Thailand merancang meningkatkan kerjasama dalam sektor pendidikan dengan Indonesia, menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Antara Parlimen (BKSAP) Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR), Putu Supadma Rudana, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).
"Mereka berminat untuk bekerjasama dalam sektor pendidikan kerana ramai pelajar Thailand, termasuk mereka yang mendapat biasiswa, sedang melanjutkan pengajian di Indonesia, terutamanya di Kota Yogyakarta," katanya dalam satu kenyataan.
Rudana membuat kenyataan itu selepas menerima kunjungan wakil Parlimen Thailand pada Sabtu.
Beliau menambah bahawa Indonesia juga berminat untuk memperkukuh kerjasama sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam beberapa bidang.
Ahli Parlimen Thailand melawat Jakarta dan Yogyakarta, destinasi popular untuk pelajar Thailand yang belajar di Indonesia. Mereka merancang untuk melawat Bali. Lawatan mereka bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
Rudana menekankan bahawa kerjasama antara Indonesia dan Thailand telah dipelihara dengan baik. Beliau menambah bahawa Thailand menawarkan banyak kawasan yang berpotensi untuk kerjasama, daripada destinasi pelancongan kepada produk pertanian terkenal di seluruh ASEAN.
Semasa pertemuan mereka, kedua-dua pihak membincangkan topik khusus, termasuk resolusi mengenai Myanmar yang diterima pakai pada Forum Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN di Brunei Darussalam. Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaannya.
Rudana menekankan peranan aktif Indonesia dalam memastikan tindakan pantas terhadap resolusi itu.
"Kami mahu mempercepatkan pelaksanaan resolusi itu, dan satu cara untuk mencapainya ialah dengan menggalakkan pembentukan pasukan petugas."
Beliau melahirkan harapan agar pasukan petugas itu dapat menjadi orang tengah bagi merealisasikan keamanan dan demokrasi di Myanmar.
Rudana turut meminta sokongan daripada Thailand dan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) lain untuk pelaksanaan segera resolusi Myanmar itu. - BERNAMA
#Indonesia #Thailand #pelajar #pendidikan #kerjasama
;