Indonesia teruskan bina 'tembok laut raksasa' untuk selamatkan Jakarta
Agensi
September 14, 2016 22:16 MYT
September 14, 2016 22:16 MYT
Indonesia akan meneruskan usaha penambakan tanah yang akan membantu mengelakkan Jakarta daripada berada di bawah paras laut, kata menteri Kabinet republik itu, lima bulan selepas projek itu tertangguh berikutan isu peraturan dan alam sekitar.
Jakarta, salah satu daripada bandar raya paling padat di dunia, berada di atas dataran berpaya dan kini menunjukkan kadar penenggelaman yang paling pantas berbanding mana-mana bandar di dunia, lapor Reuters.
Jakarta kini menumpukan perhatian untuk meningkatkan daya ketahanan dengan membina tembok laut sepanjang 15 batu serta membaik pulih sistem terusan banjir.
Pihak pemerintah pada Selasa memberi kebenaran supaya kerja-kerja fasa awal pembinaan ‘tembok laut raksasa’ diteruskan, yang bertujuan memberi imej baharu di wilayah utara Jakarta sekali gus menyamai infrastruktur pesisir laut seperti Singapura.
"Jika projek tembok laut ini tidak dijalankan, akan berlaku impak yang besar buat Jakarta berkaitan kemasukan air masin,” ujar Menteri Penyelaras Maritim Luhut Pandjaitan pada Selasa.
Antara perancangan utamanya adalah pembinaan 17 pulau buatan di perairan utara Jakarta, termasuk kompleks beli-belah dan pusat tarikan mirip Pulau Sentosa di Singapura.
Namun, projek itu tertangguh pada April lalu berikutan masalah persefahaman antara pemerintah pusat dengan Gabenor Jakarta berkenaan isu pengeluaran permit. Komuniti nelayan juga membantah projek itu yang dikatakan menjejaskan mata pencarian mereka.
Penggantungan projek pada April juga menangguhkan projek berbilion dolar di Pluit yang dibangunkan PT Agung Podomoro Land, yang merangkumi pembinaan apartmen, pejabat dan kompleks beli-belah.
"Kami masih menunggu arahan pemerintah. Sebelum ini, kami menjangkakan pembinaan di pulau itu akan selesai pada tahun 2018,” ujar setiausaha korporat syarikat, Justini Omas.
Awal bulan ini, bekas eksekutif syarikat itu, Ariesman Widjaja, dihukum penjara tiga tahun kerena memberi rasuah kepada anggota perwakilan daerah Jakarta sebagai usaha mempengaruhi soal peraturan penambakan laut.