Indonesia tarik balik larangan operasi 'pengangkutan sapu' atas talian
Azyyati Ahmad
Disember 18, 2015 16:07 MYT
Disember 18, 2015 16:07 MYT
PIHAK berkuasa Indonesia menarik balik pengharaman ke atas pengangkutan sapu yang beroperasi secara atas talian yang telah dikuatkuasakan pada Khamis.
Sebelum itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada hari ini memuat naik status di laman sosialnya bahawa beliau akan segera memanggil Kementerian Pengangkutan negara itu bagi membincangkan perkara tersebut.
Jokowi dilihat mempertahankan kemudahan tersebut demi keperluan rakyat.
Kata Jokowi, jangan hanya kerana undang-undang yang tidak mengikut teknologi terkini, rakyat menderita.
Sementara itu, dalam laporan Detik Kompas pada Khamis, Gabenor Jakarta Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama berkata, secara peribadi beliau merasakan perusahaan itu tidak salah, bagaimanapun pihaknya akan mematuhi apa saja arahan yang telah dikeluarkan kementerian.
Pada Khamis, satu surat pekeliling mengharamkan pengoperasian pengangkutan sapu berasaskan aplikasi internet seperti go-Jek, Grabbike, Blu-Jek, Lady-Jek, Uber Taxi dan Grab Car di negara itu telah diumumkan Ketua Pengarah Kementerian Pengangkutan Darat, Djoko Sasona.
Larangan itu dibuat atas alasan perusahaan itu tidak menepati undang-undang lalu lintas 2009.
Surat pekeliling berkenaan ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan, Ignasius Johan bertarikh 9 November 2015.
Pengharaman itu telah membangkitkan kemarahan pengguna-pengguna setia aplikasi 'pengangkutan sapu' ini dan turut mewujudkan hashtag #SaveGojek dalam menyatakan bantahan terhadap larangan tersebut.