Indonesia tangguh hukuman mati dua warga Australia hingga sebulan

AFP
Februari 20, 2015 20:03 MYT
Penangguhan hukuman mati warga Australia, Andrew Chan (gambar) dan Myuran Sukumaran ada kaitan dengan masalah logistik di penjara Pulau Nusakambangan. - Foto AFP
Hukuman mati dua warga Australia yang didapati bersalah cuba menyeludup heroin keluar dari Indonesia telah ditangguh sehingga sebulan.
Husain Abdullah, jurucakap Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, memberitahu bahawa hukuman mati ke atas Andrew Chan dan Myuran Sukumaran yang dipercayai ketua sindiket penyeludupan yang dinamakan Bali Nine, ‘akan ditangguhkan antara tiga minggu hingga sebulan atas sebab teknikal’.
Alasan tersebut tidak disertai penjelasan lanjut.
Pihak berkuasa Indonesia sudah mengesahkan bahawa Andrew, 31, dan Myuran, 33, adalah antara pesalah dalam kumpulan yang bakal menjalani hukuman mati walaupun Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkali-kali membuat rayuan.
Dua warga Australia itu sepatutnya dipindahkan dari penjara Bali ke Pulau Nusakambangan minggu ini sebelum hukuman dilaksanakan namun ia dilewatkan atas permintaan Canberra yang mahukan pesalah diberi masa tambahan bersama keluarga masing-masing.
Pihak berkuasa Indonesia juga ada menyebut tentang masalah logistik membabitkan kapasiti banduan di Nusakambangan.
Jurucakap dari pejabat ketua pendakwaraya yang memantau proses hukuman tersebut belum mengesahkan kenyataan dari pejabat naib presiden tersebut namun tetap menyatakan bahawa dua pesalah tersebut akan berdepan skuad penembak.
"Apa yang perlu ditegaskan di sini adalah hukuman mati itu akan tetap dijalankan,” kata Tony.
#Andrew Chan #Australia #Dadah #hukuman mati #Indonesia #Myuran Sukumaran
;