Indonesia sokong keputusan ICJ supaya Israel hentikan serangan ke atas Rafah
Bernama
Mei 26, 2024 04:30 MYT
Mei 26, 2024 04:30 MYT
JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia menyatakan sokongan terhadap keputusan terkini Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan Israel supaya segera menghentikan serangan tenteranya ke atas Rafah.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Ahad, kementerian itu juga menekankan kepentingan memastikan akses tanpa halangan ke Semenanjung Gaza untuk sebarang suruhanjaya penyiasatan, misi pencarian fakta, atau badan penyiasatan lain yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan berlaku genosid di sana.
Selain itu, kementerian itu menegaskan seruan Indonesia kepada Israel untuk "segera mematuhi langkah-langkah yang diperintahkan oleh Mahkamah tanpa syarat," dan menekankan peranan penting Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam memastikan pelaksanaannya.
Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ICJ, memutuskan pada Jumaat bahawa Israel mesti menghentikan tindakan ketenteraannya di Rafah, memastikan pintu sempadan Rafah dibuka untuk bantuan kemanusiaan, dan memberikan laporan mengenai kepatuhannya dalam tempoh sebulan.
-- BERNAMA