Indonesia sifatkan serangan Jakarta sebagai gelombang ancaman Daish

Agensi
Januari 15, 2016 04:10 MYT
Tujuh orang maut dalam kekecohan yang berlaku di tengah-tengah kesibukan kawasan beli-belah di Sarinah, dengan lima daripada yang terkorban itu merupakan pelaku serangan itu sendiri. - Gambar fail
Indonesia perlu menguatkan pertahanannya terhadap ancaman Daish dan bekerjasama dengan negara-negara jiran, ujar ketua polis Jakarta pada Jumaat, sehari selepas insiden serangan pengebom bunuh diri di Jakarta.
Tujuh orang maut dalam kekecohan yang berlaku di tengah-tengah kesibukan kawasan beli-belah, dengan lima daripada yang terkorban itu merupakan pelaku serangan itu sendiri.
Walau apapun, insiden itu merupakan kali pertama dilakukan kumpulan radikal berkenaan di negara berpopulasi Muslim paling ramai di dunia, dan ciri serangan nekad itu mengesyorkan jenis keganasan terbaru.
Ketua-ketua polis serantau kini mengaktifkan kod berjaga-jaga peringkat tinggi, sementara kawalan keselamatan dilipat ganda di pulau peranginan Bali, lapor Reuters.
“Kita perlu beri tumpuan serius pada kebangkitan ISIS (Daish). Kita perlu menguatkan langkah tindak balas dan pencegahan.
“Kami berharap rakan kita di negara lain dapat bekerjasama kerana ini bukan keganasan yang dibentuk di dalam negara tetapi ia rangkaian ISIS,” ujar ketua polis Jakarta, Tito Karnavian, selepas serangan di Sarinah, Jakarta Pusat pada Khamis.
BACA: Serangan di Jakarta: Semua yang anda perlu tahu
BACA: Polis sahkan tembak mati empat suspek di Sarinah
BACA: Letupan di Jakarta akan bawa kesan berantai kepada ekonomi - Pakar
Pihak Daish telah mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dengan mengatakan ‘sekumpulan tenteranya di Indonesia menyasarkan sekutu yang menentang Daish di Jakarta’.
Pihak polis Indonesia telah menamakan Bahrun Naim sebagai ketua militan dan dalang yang mengatur serangan di ibu negara republik itu pada Khamis.
Bertindak sebagai angkaian militan yang dikenali sebagai Katibah Nusantara, Bahrun Naim dipercayai merancang serangan dan menyampaikan arahan dari bandar Raqqa di Syria.
“Kami diberitahu pihak perisikan bahawa individu bernama Bahrun Naim yang memberi arahan di Indonesia untuk melancarkan serangan.
“Cita-citanya adalah untuk menyatukan seluruh elemen sokongan terhadap Daish di Asia Tenggara, termasuk Indonesia, Malaysia dan Filipina,” ujarnya.
#Bahrun Naim #daish #IS #Katibah Nusantara #militan #Tito Karnavian