Indonesia sifatkan China 'pembuli' dalam isu nelayan penceroboh
Agensi
April 1, 2016 23:01 MYT
April 1, 2016 23:01 MYT
Indonesia mendesak China menyerahkan sebuah kapal nelayan yang didakwa beroperasi secara haram di perairannya, dengan menegaskan negara besar tidak sepatutnya menjadi ‘pembuli’ negara kecil.
AFP melaporkan, insiden itu menambah ‘ketegangan’ antara dua negara berkenaan berkenaan sempadan maritim, dengan segalanya bermula dua minggu lalu apabila kapal-kapal dari kedua-dua negara bertembung di perairan kepulauan Natuna.
Dalam kejadian terbaru, sebuah bot peronda Indonesia sedang menunda sebuah kapal nelayan China ke pantai kerana dikatakan beroperasi tanpa permit.
Namun ketika ia sedang ditunda, kapal pengawal pantai China telah muncul dan merempuh penundaan itu untuk 'membebaskan' bot nelayan tersebut.
Beijing mendakwa memiliki hampir semua kawasan di Laut China Selatan walaupun berdepan bantahan dari Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei.
Indonesia sebelum tidak berbalah dengan China tentang sempadan di laut tersebut, namun Negara Garuda itu mula bertindak apabila melibatkan pencerobohan di zon ekonomi eksklusif di utara Natuna.
Menteri Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti, pada Jumaat menggesa Beijing menyerahkan semula kapal penangkap ikan itu kepada pihak berkuasa Indonesia.
“Saya percaya China adalah negara yang hebat, dengan penguatkuasaan undang-undang yang bagus. Mereka pasti tidak menyebelahi aktiviti penangkapan ikan secara haram, walaupun dilakukan oleh kapal-kapal negara mereka.
“Saya percaya mereka akan menghormati saya dengan menyerahkan semula kapal nelayan itu. Saya rasa negara besar seperti anda tidak patut membuli negara-negara kecil,” ujarnya.
Susi tidak menyatakan sama ada kapal China itu mahu diletupkan atau tidak. Begitupun, awak-awak kapal berkenaan yang sudah ditahan lebih awal, sebahagiannya berdepan perbicaraan manakala sebahagian lagi dihantar pulang ke China.
Kedutaan China di Jakarta belum memberi maklum balas, namun Beijing menyatakan bahawa kapal nelayan itu beroperasi di ‘kawasan tradisi penangkapan ikan’.
Susi bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dengan menyatakanbahawa kawasan itu milik Indonesia.
#kapal penangkap ikan
#kapal penceroboh
#kapal pengawal pantai China
#sempadan laut Indonesia
#Susi Pudjiastuti