Indonesia serah 700 kenderaan Maung MV3 buatan tempatan kepada tentera dan polis

Bernama
Mac 1, 2025 07:45 MYT
Maung MV3 boleh dilengkapi dengan mesingan berkaliber 7.62mm untuk operasi pertempuran. - Foto X/Kemhan RI
JAKARTA: Kementerian Pertahanan Indonesia menyerahkan 700 kenderaan operasi Maung MV3 kepada tentera dan polis untuk mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara, dengan rancangan untuk menyerahkan sekurang-kurangnya 4,000 unit secara keseluruhan.
Direka oleh PT Pindad, kenderaan itu sangat mudah alih, mampu dipersenjatai untuk pertempuran dan dibina untuk menyokong operasi ketenteraan dan bukan ketenteraan, selain turut meningkatkan industri automotif negara, menurut kenyataan kementerian.
Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin menyerahkan kenderaan itu kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Agus Subiyanto dan Ketua Polis Jeneral Listyo Sigit Prabowo di Pangkalan Tentera Udara Husein Sastranegara di Bandung, Jawa Barat, pada Sabtu.
Beliau berkata kenderaan itu akan terus dihantar ke seluruh negara seiring dengan pembangunan industri pertahanan nasional Indonesia untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan kestabilan negara serta menyediakan sokongan operasi kepada tentera dan polis.
Maung MV3 boleh dilengkapi dengan mesingan berkaliber 7.62mm untuk operasi pertempuran.
Dikuasakan oleh enjin turbo diesel 2,200cc, kenderaan itu boleh mencapai kelajuan sehingga 100 km/j dan mempunyai jarak sehingga 500 km.
-- BERNAMA
#Kementerian Pertahanan #kenderaan Maung MV3 #tentera #polis
;