Indonesia sekat akses ke lebih 800,000 item kandungan perjudian dalam talian
Bernama
Januari 2, 2024 21:48 MYT
Januari 2, 2024 21:48 MYT
JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Informasi (Kominfo) Budi Arie Setiadi berkata kementerian itu telah menyekat akses ke lebih 800 ribu item kandungan perjudian dalam talian dari Julai hingga Disember 2023, lapor ANTARA.
"Pencapaian ini adalah hasil tindakan menyekat kandungan perjudian dalam talian yang telah dijalankannya sejak lima tahun lalu," katanya di Kementerian Kominfo, Jakarta Pusat pada Selasa.
Menurut data Direktorat Besar Aplikasi Informasi kementerian, dari 17 Julai hingga 30 Disember, kira-kira 805,293 item kandungan perjudian dalam talian dikenakan tindakan.
Kementerian menyekat akses ke atas 596,348 item kandungan pada laman dan alamat IP, 173,134 pada platform Meta, 29,257 pada platform perkongsian fail, 5,993 pada platform Google dan YouTube, 367 pada X, 170 pada Telegram, 15 pada TikTok, lapan dalam App Store dan satu dalam SnackVideo.
Selain kandungan perjudian dalam talian, kementerian itu turut menyekat lebih lima ribu akaun bank dan akaun e-dompet yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian.
Setiadi berkata Kementerian Kominfo bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) dalam menyekat akaun bank itu.
"Kominfo bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam membanteras perjudian dalam talian. Kami bekerjasama dengan OJK, telekomunikasi, Internet dan penyedia perkhidmatan platform digital," katanya.
Setiadi menggesa penyedia perkhidmatan Internet dan pengendali perkhidmatan mudah alih supaya meningkatkan usaha menghapuskan perjudian dalam talian dengan memastikan ketepatan penyelarasan sistem dalam pangkalan data laman yang mengandungi kandungan perjudian dalam talian
Beliau turut memberi amaran kepada gergasi teknologi Meta memandangkan masih banyak kandungan perjudian dalam talian ditemukan di platformnya.
"Kami mahu Meta segera memperbaiki pengendalian kandungan dan iklan dengan kandungan perjudian dalam talian di platform yang diurusnya dalam tempoh 24 jam," katanya.
Setiadi berkata tindakan Meta dalam mengendalikan kandungan dan iklan mengenai perjudian dalam talian menunjukkan betapa pentingnya peranan semua pihak terlibat untuk membanteras perjudian dalam talian.
-- BERNAMA