Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Bernama
Disember 14, 2024 05:00 MYT
Disember 14, 2024 05:00 MYT
JAKARTA: Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia, lapor Agensi Berita ANTARA.
Dalam kenyataan kementerian itu pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid menegaskan bahawa keselamatan siber adalah asas utama untuk memastikan kelangsungan transformasi digital di negara ini.
"Keselamatan siber adalah kunci untuk melindungi infrastruktur strategik kita. Ketika ini, kami sedang membangunkan Tembok Api Digital Nasional dan menggalakkan penubuhan CSIRT (Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer) di setiap institusi kerajaan untuk mengurangkan ancaman siber," katanya.
Bagi menyokong transformasi digital, kementerian juga akan melaksanakan program latihan dan pensijilan untuk melahirkan bakat digital mengikut keperluan industri.
"Program ini bukan sahaja melibatkan pensijilan tetapi juga mengukuhkan hubungan antara peserta dan dunia profesional, memastikan kesan nyata kepada masyarakat," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa program peningkatan literasi digital telah memberi manfaat kepada lebih 5.6 juta orang, termasuk wanita dan golongan belia.
Untuk mempercepatkan transformasi digital, satu daripada langkah yang diambil kerajaan adalah merealisasikan akses internet yang setara dengan menyediakan Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) di kawasan yang tidak diliputi rangkaian gentian optik.
"FWA adalah penyelesaian tepat untuk menyediakan internet berkelajuan tinggi yang mampu milik, khususnya di kawasan terpencil yang belum mempunyai sambungan stabil," katanya.
Beliau menegaskan bahawa transformasi digital bertujuan mewujudkan ekosistem digital yang inklusif, dipercayai, dan berdaya maju.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan untuk merealisasikan transformasi digital yang selamat, adil, dan membawa manfaat nyata kepada masyarakat.
--BERNAMA-ANTARA