Indonesia sasar tarik pelaburan asing AS$88.4 bilion tahun depan
Bernama
November 30, 2022 19:52 MYT
November 30, 2022 19:52 MYT
JAKARTA: Indonesia menyasar menarik pelaburan asing bernilai 1,400 trilion rupiah (AS$88.4 billion) pada 2023, meningkat 200 trillion rupiah (AS$1=15,700 rupiah) daripada yang disasarkan tahun ini, kata Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia.
Beliau berkata, sasaran tersebut boleh dicapai sekiranya politik domestik kekal stabil, perang Ukraine-Russia berakhir segera dan tidak berlaku ketegangan politik antara China dan Taiwan.
"Jumlah pelaburan asing yang dicapai setakat suku ketiga 2022 bernilai 894 trillion rupiah," kata Bahlil pada majlis perasmian mesyuarat koordinasi pelaburan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi), hari ini.
Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu bakal mengadakan tiga pilihan raya utama iaitu Pilihan Raya Parlimen, Gabenor dan Presiden secara serentak pada 2024.
Menurut Bahlil, sejak suku ketiga 2020, jumlah pelaburan di beberapa wilayah di luar Pulau Jawa mengatasi jumlah pelaburan di Pulau Jawa, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melihat pertumbuhan ekonomi saksama di seluruh negara.
Sementara itu, Jokowi dalam ucapannya menggesa pihak yang mengurus pelaburan serta dasar fiskal dan kewangan agar berhati-hati serta tidak keliru dalam menilai situasi serta prospek ekonomi global.
Menurutnya, semua negara dijangka berdepan dengan kenaikan inflasi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan, krisis tenaga dan makanan, gangguan bekalan baja serta ancaman kemelesetan ekonomi global awal tahun depan.
Proses kemasukan pelaburan asing juga perlu dipermudahkan di tengah-tengah persaingan sengit merebut pelaburan untuk mencipta pertumbuhan ekonomi, katanya. - BERNAMA