Indonesia rancang tetapkan had umur minimum penggunaan media sosial

Agensi
Januari 15, 2025 08:30 MYT
Indonesia merancang untuk mengeluarkan peraturan bagi menetapkan umur minimum untuk pengguna media sosial dalam usaha melindungi kanak-kanak. - Gambar hiasan
JAKARTA: Indonesia merancang untuk mengeluarkan peraturan bagi menetapkan umur minimum untuk pengguna media sosial dalam usaha melindungi kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi negara itu.
Perancangan ini dibuat susulan tindakan Australia yang melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial, dengan denda dikenakan terhadap gergasi teknologi seperti Meta (pemilik Instagram dan Facebook) serta TikTok sekiranya mereka gagal menghalang akses kanak-kanak ke platform mereka.
Menterinya, Meutya Hafid, bagaimanapun, tidak menyebut umur minimum yang akan ditetapkan di Indonesia.
Kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin lalu dibuat selepas berbincang mengenai pelan tersebut dengan Presiden Prabowo Subianto.
“Kami berbincang tentang cara melindungi kanak-kanak di ruang digital,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube pejabat presiden.
“Presiden mengatakan untuk meneruskan pelan ini. Beliau sangat menyokong bagaimana perlindungan kanak-kanak seperti ini dapat dilakukan dalam ruang digital kita,” tambahnya.
Penembusan internet di Indonesia, sebuah negara dengan populasi sekitar 280 juta orang, mencapai 79.5 peratus tahun lalu, menurut tinjauan ke atas 8,700 orang yang dijalankan oleh Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia.
Tinjauan itu menunjukkan 48 peratus kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mempunyai akses kepada internet, dengan sesetengah responden dalam kumpulan umur itu menggunakan Facebook, Instagram, dan TikTok.
Tinjauan juga mendapati penembusan internet adalah 87 peratus dalam kalangan pengguna "Gen Z" iaitu mereka yang berumur antara 12 hingga 27 tahun. - Agensi
#media sosial #umur minimum #Indonesia #akses kanak-kanak
;