Indonesia rancang hasilkan vaksin COVID-19

Bernama
September 3, 2020 10:15 MYT
Petugas kesihatan menjalankan simulasi ke atas vaksin koronavirus di Fakulti Perubatan, Universiti Padjadjaran, Bandung, Indonesia, 6 Ogos, 2020. REUTERS
Presiden Joko Widodo berkata Indonesia merancang untuk mengeluarkan vaksinnya sendiri menjelang pertengahan 2021, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Syarikat tempatan ditugaskan untuk membangunkan vaksin COVID-19 secara usaha sama dan setakat ini perkembangannya sudah mencapai tahap 30 hingga 40 peratus, kata Widodo pada mesyuarat kabinet, Selasa.
Beliau berharap ujian klinikal dapat dimulakan seawal tahun 2021 sebelum pengeluaran secara komersial bermula pertengahan tahun depan.
Dikenali sebagai vaksin Merah Putih, ia sedang dibangunkan oleh Kementerian Penyelidikan dan Teknologi diketuai Institut Molekul Biologi Eijkman.
Sebelum ini, pengarah institut itu, Amin Soebandrio, berkata vaksin dijangka dapat memenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus permintaan dalam negara.
Selain membangunkan vaksin antivirus, Indonesia juga sudah menempah 290 juta dos vaksin COVID-19 dan akan dihantar ke negara ini sebelum akhir 2021.
Syarikat biofarmaseutikal China Sinovac Biotech - satu daripada dua pembekal vaksin COVID-19 di Indonesia - bekerjasama rapat dengan negara Asia Tenggara untuk membantu menghasikan vaksin sendiri.
-- BERNAMA
#Amin Soebandrio #Asia #China #COVID-19 #Indonesia #Institut Molekul Biologi Eijkman #Joko Widodo #kabinet #komersial #koronavirus #Sinovac Biotech #ujian klinikal #vaksin #vaksin Merah Putih #Vietnam
;